KUCHING: Wanita berusia 20 tahun yang dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat di Taman Kwong Thiong, Jalan Stephen Yong, di sini, pada 26 Ogos lalu, ditemukan semula dalam keadaan selamat di Kangar, Perlis, semalam.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Barry William berkata, wanita berkenaan ditemukan oleh pihak polis kira-kira 4 petang.
Katanya, wanita terbabit ditemui dalam keadaan selamat selepas pihak polis menjalankan tindakan susulan ke atas laporan kehilangan yang dibuat sebelum ini.
“Orang hilang berkenaan ditemui semula oleh pihak polis dalam keadaan selamat di Kangar, Perlis pada 31 Ogos 2026, 4 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, ahli keluarga wanita berkenaan sudah dimaklumkan berkaitan penemuan itu.
Katanya, keluarga kini dalam perjalanan untuk membawa pulang wanita terbabit ke Sarawak.
Sebelum ini, polis memaklumkan wanita berkenaan dilaporkan hilang pada 27 Ogos selepas kali terakhir dilihat kira-kira 3 petang, 26 Ogos lalu.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu secara langsung atau tidak langsung dengan menyalurkan maklumat sehingga membawa kepada penemuan semula wanita berkenaan.

