Wanita, keldai dadah ditahan cuba seludup ganja melalui LTAK

KUCHING: Seorang wanita tempatan berusia 27 tahun ditahan selepas dikesan membawa bagasi dipenuhi 18 bungkusan ketulan tumbuhan mampat disyaki dadah jenis ganja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (), Rabu lalu (28 April).

Suspek yang tiba melalui LTAK menerusi penerbangan Air Asia membawa dua buah bagasi yang didaftarkan atas namanya sendiri.

Cubaan suspek untuk menyeludup masuk bagasi berkenaan tidak berjaya selepas disekat oleh Pegawai Unit Pemeriksaan Penumpang (UKPT) Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang melakukan imbasan barang.

Kesemua bungkusan terbabit didapati berbentuk hadiah dengan mempunyai empat lapisan iaitu lapisan plastik lut sinar, kertas karbon, dan plastik lut sinar dan plastik keemasan.

Pengarah Kastam Sarawak Herman Shah Abdullah yang mengesahkan kejadian berkata penemuan terbabit sekali gus menjadi rampasan dadah terbesar tahun ini dan disyaki untuk dipasarkan ke pasaran tempatan.

“Kesemua tumbuhan mampat itu dianggarkan seberat 18,264 gram dengan nilai sekitar RM45,660 mengikut harga pasaran terkini.

“Suspek mengaku telah pergi ke Kuala Lumpur pada 20 April lalu bagi tujuan melawat dan menjaga ibunya di Hospital dan mendakwa bahawa rakannya telah mengirim sebuah bagasi untuk dibawa balik ke Kuching pada 28 April,” katanya dalam sidang media di Wisma Kastam Kuching hari ini.

Tambahnya, siasatan awal mendapati suspek disyaki menjadi keldai dadah yang dijanjikan dengan habuan pekerjaan di sebuah syarikat di daerah Serian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama.

Suara Sarawak