ARTIKEL

Wanita kini setaraf lelaki dalam kepimpinan masyarakat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

JULAU: Golongan wanita kini mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan golongan lelaki, malah ramai dalam kalangan mereka telah dilantik sebagai Tuai Rumah untuk memimpin masyarakat, kata Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien.

Katanya, wanita hari ini tidak seperti 20 tahun dahulu kerana mereka kini lebih berani tampil, bijak dan petah bertutur dalam berkongsi idea bagi pembangunan masyarakat.

“Saya berharap lebih ramai golongan wanita akan dilantik untuk memegang jawatan yang lebih besar,” ujar beliau yang juga Pengerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB).

Selain itu, Larry turut menyeru agar golongan wanita di Julau aktif melibatkan diri dalam industri kraftangan.

Jelasnya, industri tersebut kini semakin maju dan menerima permintaan tinggi di pasaran, justeru wanita wajar merebut peluang berkenaan.

“Dahulu, kita mempunyai golongan tua yang sangat mahir membuat pua kumbu dan kemahiran ini mesti diwarisi oleh generasi muda. Jika tidak, ia akan lenyap dan menjadi kerugian buat kita.

“Anyaman tikar masih dilakukan oleh golongan tua dan saya berharap generasi muda akan mempelajarinya.

“Mungkin pada masa hadapan, anyaman tikar atau kraftangan lain sudah tidak wujud lagi. Oleh itu, saya menyeru generasi muda untuk mempelajari seni ini kerana mereka yang akan meneruskannya agar tidak lenyap akibat arus pembangunan global yang semakin maju,” katanya.

Sehubungan itu, Larry berkata, pihaknya merancang untuk mengadakan bengkel kraftangan yang akan menjadi asas dan titik permulaan kepada usaha mengekalkan identiti serta warisan masyarakat tempatan.

“Melalui bengkel ini, kita dapat belajar dan memastikan industri kraftangan terus berkembang serta menjadi penggerak ekonomi negara dan rakyat,” ujarnya.
Beliau menambah, industri pelancongan negara kini semakin maju dan Sarawak merupakan antara destinasi pelancongan popular.

Menurutnya, kedatangan pelancong amat dinantikan kerana ia membuka peluang untuk mempromosikan produk kraftangan tempatan.

“Kita boleh menjual produk kraftangan kepada pelancong sebagai cenderamata kunjungan mereka ke sini. Pelancong sentiasa berminat membeli produk tempatan, dan ini merupakan sebahagian daripada strategi perniagaan kraf kita untuk menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.

Larry turut menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak telah membangunkan industri pelancongan yang memberi peluang kepada rakyat untuk menceburi bidang tersebut bagi meningkatkan sumber pendapatan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU