KOTA SAMARAHAN: Seorang wanita maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan berhampiran lampu isyarat Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), di jalan menghala ke Tabuan, pagi ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Samarahan Superintenden Damataries Lautin, dalam kejadian sekitar 7 pagi itu, mangsa yang juga pembonceng motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
“Nahas berkenaan melibatkan sebuah lori, kereta dan motosikal yang dipercayai bergerak dari arah UNIMAS menuju ke Tabuan ketika insiden berlaku,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Pegawai penyiasat (IO) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan kini berada di lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut serta mengawal lalu lintas di kawasan terbabit.
“Siasatan sedang dijalankan dan laporan lanjut menyusul kemudian,” tambah Damataries.
Polis menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati terutamanya di kawasan persimpangan utama dan mematuhi lampu isyarat bagi mengelakkan tragedi seumpama ini berulang.
Difahamkan, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk dibedah siasat.




