Wanita maut dipercayai terjun daripada kondominium di Kuching

KUCHING: Seorang guru wanita maut dipercayai terjun daripada tingkat tujuh bangunan kondominium di Jalan Alwi, hari ini.

Mangsa berusia 56 itu merupakan salah seorang tenaga pengajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua No 5.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian daripada orang awam sekitar jam 7.37 pagi.

Menurutnya, tubuh mangsa ditemui berada dalam keadaan terbaring di atas tanah berhampiran halaman kondominium berkenaan oleh pihak polis yang tiba ke lokasi.

“Hasil pemeriksaan awal pegawai perubatan daripada Hospital Umum Sarawak (HUS) mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mangsa mengalami kesan luka di leher dan pergelangan tangan berpadanan dengan senjata yang ditemui di dalam bilik air si mati,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, mangsa tinggal berdua bersama kakaknya berusia 58 tahun di kediaman terbabit.

Dedahnya, kakak mangsa memberitahu mangsa telah mengalami kemurungan kerana tidak dapat ke mana-mana berikutan simati merupakan seorang yang suka melancong terutamanya pada musim cuti persekolahan.

Din berkata, siasatan awal bagaimanapun mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian tersebut.

Susulan itu, mayat mangsa dibawa ke HUS untuk tindakan lanjut.

Ujarnya, kes kini diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara siasatan lanjut sedang dijalankan.