ARTIKEL

Kenderaan mangsa remuk teruk dalam kejadian di Sungai Bawang Balingian, pada Ahad. | Foto IPD Mukah.

Wanita maut kereta terbabas di Jalan Sungai Bawang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MUKAH: Seorang wanita berusia 30 tahun maut selepas terbabit dalam kemalangan kendiri ketika memandu sebuah kereta Perodua Bezza di Sungai Bawang, Balingian, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 petang itu, mangsa dilaporkan memandu seorang diri dari arah Sekolah Sungai Bawang menuju ke Sibu sebelum kenderaan dipandunya hilang kawalan.

Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, kenderaan mangsanya kemudiannya terbabas ke tepi jalan sebelum melanggar sebatang pokok kelapa sawit, menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah pada kedua-dua belah kakinya.

“Polis difahamkan, suami mangsa yang tiba di lokasi kejadian bertindak membawa wanita itu ke Klinik Kesihatan Selangau untuk mendapatkan rawatan kecemasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun katanya, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 4.20 petang oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Selangau semasa menerima rawatan.

Sementara itu, sebuah lagi kenderaan jenis pikap turut terbabit dalam kemalangan kendiri di lokasi yang sama, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan melibatkan kejadian kedua berkenaan.

“Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau juga meminta mana-mana saksi yang melihat kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Mohd. Rahmat Jalimin di talian 011-31627137 atau hadir ke mana-mana balai polis berdekatan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU