KUCHING: Seorang wanita berusia 30 tahun maut selepas keretanya merempuh bahagian belakang sebuah lori dan terbalik di Batu 16, Jalan Kuching–Serian, awal pagi 6 November 2025.
Komander Operasi PBK II Yusuf Adenan berkata, kejadian berlaku sekitar 4.49 pagi.
“Pasukan Bomba dan Penyelamat dari BBP Siburan bertindak segera, menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa sebelum menyerahkannya kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Yusuf berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Pasukan bomba juga membersihkan jalan bagi memastikan keselamatan pengguna lain sebelum meninggalkan lokasi.
Orang awam dinasihatkan supaya sentiasa memandu dengan berhati-hati, mematuhi jarak selamat, dan lebih berwaspada ketika awal pagi atau cuaca gelap.



