SRI AMAN: Seorang wanita maut selepas tersepit di tempat duduk penumpang hadapan sebuah Proton Persona dalam kemalangan membabitkan kereta dengan lori berhampiran Persimpangan Simpang Lubuk Antu, di sini, hari ini.
Mangsa, 33, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong, PPgB Muhammad Badrulamin Mohamad Fodzi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 1.35 tengah hari sebelum sepasukan 12 anggota dikejarkan ke lokasi.
“Setibanya pasukan bomba pada 2.04 petang, mangsa didapati masih tersepit di bahagian tempat duduk penumpang hadapan Proton Persona,” katanya.
Tambah Mohammad, mangsa berjaya dikeluarkan, namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan KKM.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Dalam kejadian itu, pemandu Proton Persona, lelaki berusia 42 tahun cedera dan dihantar ke hospital oleh APM sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Kelindan lori pula mengalami kecederaan parah dan dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM, manakala pemandu lori yang berusia 37 tahun tidak mengalami kecederaan.
“Operasi turut membabitkan PDRM, KKM dan APM itu tamat pada 3.30 petang,” katanya.



