ARTIKEL

HANGUS…Keadaan rumah wanita itu hangus akibat terbakar, semalam.

Wanita melecur dalam kebakaran rumah di Kuching

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seorang wanita berusia 58 tahun mengalami kecederaan melecur di bahagian belakang dan tangan dalam kebakaran sebuah rumah dua tingkat di Taman Putera Bandar Baru Samariang, di sini, tengah hari semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba berkata, dalam kejadian kira-kira 1.13 tengah hari itu, mangsa dipercayai berada di dalam rumah ketika api marak di bahagian dapur sebelum merebak ke ruang makan.

“Kejadian itu menyebabkan mangsa tidak sempat menyelamatkan diri sepenuhnya tanpa mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan.

Tambah PGO, mangsa bagaimanapun berjaya dikeluarkan dan segera diberikan rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) yang tiba bersama-sama anggota bomba.

Katanya, selepas keadaan stabil, mangsa diserahkan kepada ambulans Persatuan Bulan Sabit Merah untuk dibawa mendapatkan rawatan lanjut.

“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya yang tiba di lokasi kira-kira lima minit selepas menerima panggilan kecemasan bertindak pantas mengawal kebakaran daripada terus merebak ke keseluruhan rumah.

“Kebakaran melibatkan kemusnahan besar di bahagian dapur dan ruang makan, manakala sebuah bilik bersebelahan turut terjejas.

“Api berjaya dikawal dalam tempoh singkat sebelum operasi ditamatkan selepas keadaan disahkan selamat. Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

HANGUS…Keadaan rumah wanita itu hangus akibat terbakar, semalam.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU