ARTIKEL

Foto: Online

Wanita miliki wang secara tidak sah dalam akaun peribadi, didenda RM300 atau penjara tiga hari

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seorang warga emas wanita dikenakan hukuman denda RM300 atau penjara tiga hari oleh Mahkamah Majistret di sini kerana memiliki wang secara tidak sah dalam akaun peribadinya sebanyak RM8,700.

Wang yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Sepiah Mohamad, 66, dipercayai digunakan untuk aktiviti penipuan dalam talian bagi penjualan anjing import yang tidak wujud.

Sepiah mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 37(1) Ordinan Kesalahan Kecil Sarawak di hadapan Majistret Mason Jaro Lenya Barayan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah menerima dua transaksi wang tersebut melalui sebuah bank di Lorong Kai Joo di sini pada 9 Julai lepas.

Menurut fakta kes, pada 7 Julai lalu, sekitar jam 12.58 tengah hari, pengadu wanita berusia 27 tahun telah melihat iklan menjual anjing di laman sosial Facebook bernama Kim Weeh lalu menghubungi penjual di talian 011-11539152.

Pengadu berminat membeli seekor anak anjing jenis Pomeranian berharga RM1,700.

Semasa menghubungi penjual anjing tersebut, pengadu kemudian diminta untuk membuat pembayaran sebanyak RM8,700 bagi urusan bayaran permit dan sijil kesihatan.

Selepas itu, pengadu membuat dua transaksi pembayaran ke dalam sebuah akaun atas nama tertuduh.

Setelah membuat pembayaran tersebut, pengadu sekali lagi disuruh membuat pembayaran namun dia mula mencurigai transaksi tersebut lalu membuat laporan polis.

Hasil siasatan mendapati wang dipindahkan secara dalam talian dari akaun pengadu ke dalam akaun tertuduh pada 9 Julai lalu menerusi penyata bank.

Tertuduh tidak dapat memberikan alasan munasabah tentang bagaimana wang sebanyak RM8,700 itu boleh berada dalam akaun peribadinya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU