MUKAH: Wanita memainkan peranan penting dalam memupuk kesedaran alam sekitar dalam kalangan generasi akan datang, tegas Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah.
Menurut beliau, wanita bukan sahaja berperanan sebagai pendidik dalam institusi keluarga, malah menjadi pemangkin kepada perubahan sikap masyarakat terhadap pemuliharaan alam sekitar.

“Peranan wanita amat besar kerana apa yang dididik kepada anak-anak akan memberi kesan jangka panjang kepada masyarakat dan dunia.
“Kesedaran alam sekitar perlu dipupuk secara berterusan bagi memastikan keseimbangan antara pembangunan dan kelestarian alam dapat dicapai selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Pegawai Daerah Dalat Mathew Hubert pada majlis perasmian Program Kesedaran Alam Sekitar Bersama Masyarakat Daerah Dalat dan Daerah Kecil Oya di Dewan Masyarakat Oya, di sini semalam.
Mengulas mengenai program tersebut, ia merupakan anjuran Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak.
Program itu berjaya menghimpunkan kira-kira 250 peserta terdiri daripada komuniti setempat, pemimpin masyarakat serta wakil agensi kerajaan dari Daerah Dalat dan Daerah Kecil Oya.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti diadakan termasuk sesi ceramah oleh pegawai NREB berkaitan isu pencemaran udara, larangan pembakaran terbuka serta konsep ekonomi kitaran.
Selain itu, Jabatan Pertanian turut menyampaikan ceramah mengenai kaedah pembersihan kawasan bagi tujuan pertanian yang lebih selamat dan mesra alam.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Mukah pula melakukan demonstrasi pemadaman kebakaran bagi memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknik asas serta langkah keselamatan ketika berdepan situasi kecemasan.
Dalam pada itu, Pejabat Kesihatan Bahagian Mukah menyediakan perkhidmatan saringan kesihatan kepada peserta sebagai usaha meningkatkan kesedaran terhadap penjagaan kesihatan diri.
Pada masa sama, cabutan bertuah tajaan Sarawak Energy Berhad turut diadakan bagi menggalakkan penglibatan aktif peserta sepanjang program.
Turut hadir Ketua Pejabat NREB Bahagian Mukah Timothy Abet, Pengerusi Majlis Daerah Dalat dan Mukah Arini Suhaili serta Penghulu Pawi Ramli.


