KUCHING: Wanita perlu diberi ruang lebih besar dalam proses membuat keputusan berkaitan alam sekitar, termasuk dalam kerajaan, korporat, institusi penyelidikan dan forum antarabangsa.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, wanita bukan sahaja perlu terlibat dalam melaksanakan tugas berkaitan alam sekitar, malah perlu diberi peluang untuk berada di peringkat pembuat keputusan.
Beliau berkata, kepimpinan inklusif bukan sekadar mengenai perwakilan, sebaliknya memastikan bakat, idea, pengalaman dan perspektif seluruh masyarakat dapat dimanfaatkan dalam menangani cabaran alam sekitar.

“Wanita sudah pun memainkan peranan penting dalam sektor alam sekitar, termasuk sebagai saintis, jurutera, penggubal dasar, pemimpin korporat, penyelidik, pemulihara alam, pendidik, usahawan, penggerak komuniti dan inovator.
“Bagaimanapun, kita perlu memastikan wanita bukan sekadar terlibat dalam melaksanakan tugas. Mereka juga mesti diwakili di tempat keputusan penting dibuat,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh pada Simposium Wanita dalam Alam Sekitar 2026: Tindakan Iklim, Pemuliharaan Alam Semula Jadi, Transformasi Digital dan Kepimpinan Inklusif di sini, hari ini.
Menjelas lanjut, beliau berkata wanita turut membawa perspektif penting dalam aspek daya tahan komuniti, pengurusan sumber, pendidikan, kesihatan, kesejahteraan isi rumah dan pembangunan mampan.
“Apabila wanita diberi kuasa untuk memimpin, manfaatnya bukan hanya terhad kepada wanita. Manfaat tersebut turut dirasai oleh keluarga, komuniti, organisasi dan masyarakat secara keseluruhannya,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama, Abang Johari berkata cabaran alam sekitar ketika ini memerlukan kepimpinan daripada semua lapisan masyarakat dan tidak boleh ditangani oleh kerajaan semata-mata.
Katanya, kerajaan, industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), saintis dan komuniti perlu bekerjasama bagi memastikan pembangunan ekonomi dapat dilaksanakan seiring usaha melindungi alam sekitar.
“Sarawak perlu terus berkembang dengan mewujudkan peluang pekerjaan, membangunkan industri, membina infrastruktur, meningkatkan kesalinghubungan serta pendapatan rakyat, namun pada masa sama melindungi sumber semula jadi negeri.
“Cabaran yang kita hadapi bukanlah sama ada kita perlu memilih antara pembangunan dan pemuliharaan. Cabarannya ialah bagaimana untuk mencapai kedua-duanya.
“Bagaimanakah kita membina ekonomi yang berdaya saing, inovatif dan makmur, sambil melindungi sistem semula jadi yang menjadi asas kepada kemakmuran tersebut?” soalnya.
Justeru katanya, kelestarian seharusnya menjadi pemacu kepada pertumbuhan ekonomi masa depan, termasuk menerusi peralihan kepada tenaga lebih bersih, sumber boleh diperbaharui dan industri rendah karbon.
“Langkah berkenaan bukan sahaja dapat menyokong kelestarian alam sekitar, malah berpotensi mewujudkan peluang pelaburan, membangunkan teknologi dan menjana pekerjaan baharu,” ujarnya.

