KUCHING: Seorang wanita berusia 35 tahun ditemukan rentung selepas dipercayai terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Taman Kim Pang di sini, petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 3.57 petang sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya serta BBP Batu Lintang dikerahkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran membabitkan sebuah rumah setingkat yang musnah 100 peratus.
“Rumah berkenaan dihuni enam orang dan berdasarkan maklumat pemanggil, seorang wanita dewasa masih terperangkap di dalam,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, pasukan bomba segera menjalankan operasi mencari dan menyelamat serta memadam kebakaran menggunakan sumber air daripada tangki jentera.
Bagaimanapun, mangsa ditemukan dalam keadaan rentung di dalam rumah pada jam 4.36 petang.
Beliau berkata, jasad mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.



