ARTIKEL

Gambar Hiasan

Wanita rugi RM1,388 dipercayai ditipu beli tiket konsert

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BAU: Hasrat seorang wanita untuk menyaksikan konsert artis antarabangsa bertukar menjadi pengalaman pahit apabila beliau dipercayai menjadi mangsa penipuan pembelian tiket secara dalam talian melalui Facebook dalam kejadian di daerah ini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A. Rahman berkata, mangsa, seorang kerani swasta berusia 39 tahun, dikatakan tertarik dengan satu iklan yang menawarkan tiket konsert “BTS World Tour” di bawah nama ‘Gold Tix’ ketika berada di rumahnya di Kampung Tabung Apar, Singai sekitar jam 10.55 malam, 3 Jun lepas.

“Iklan tersebut menawarkan satu tiket pada harga RM1,388 sebelum mangsa menekan pautan yang disediakan, yang kemudiannya membawa kepada perbualan melalui aplikasi WhatsApp bersama seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai Putri Nur Gita.

“Tanpa menyedari ia merupakan helah penipuan, mangsa kemudian diarahkan untuk membuat pembayaran ke akaun Touch ‘n Go Digital yang diberikan sebelum melaksanakan satu transaksi pindahan wang berjumlah RM1,388 bagi tujuan pembelian tiket tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, kata Mohd Haide, selepas pembayaran dibuat, mangsa mendakwa suspek cuba memaksanya untuk membeli tambahan dua tiket lagi dan permintaan tersebut ditolak kerana mangsa hanya ingin membeli satu tiket sahaja untuk kegunaan peribadi.

Tidak lama selepas itu, katanya, nombor telefon mangsa terus disekat oleh suspek, sekali gus menimbulkan syak wasangka sebelum mangsa menyedari dirinya telah diperdaya.

“Mangsa kemudian tampil membuat laporan polis serta menghubungi Pusat Tindak Balas Penipuan Kebangsaan (NSRC) di talian 997.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa mengalami kerugian sebanyak RM1,388, iaitu jumlah yang dipindahkan ke akaun yang diarahkan suspek, menggunakan simpanan peribadi sendiri.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. Orang ramai turut dinasihatkan supaya lebih berwaspada terhadap penjualan tiket konsert secara dalam talian, khususnya melalui media sosial dan transaksi tidak rasmi, bagi mengelakkan menjadi mangsa sindiket penipuan,” katanya.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU