MIRI: Seorang wanita kerugian RM622,792.65 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan yang menyamar sebagai peguam dari Hong Kong dan menawarkan khidmat kononnya untuk mendapatkan semula wang yang hilang akibat penipuan pembelian barang kemas dalam talian.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD) Miri menerima laporan berhubung kejadian itu semalam daripada mangsa berusia 27 tahun.
Menurutnya, mangsa berkenalan dengan suspek menerusi media sosial sebelum ditawarkan perkhidmatan untuk mendapatkan semula wang yang hilang dalam satu kes penipuan terdahulu.
“Bagi tujuan itu, mangsa diarahkan membuat beberapa pembayaran menggunakan mata wang kripto sebagai kononnya yuran dan kos pengurusan kes.
“Mangsa melakukan 12 transaksi pembayaran dari 23 Jun hingga 18 Julai lalu mengikut arahan suspek sehingga mengalami kerugian RM622,792.65,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa hanya menyedari dirinya diperdaya selepas gagal menghubungi suspek apabila nombor telefon yang digunakan telah menyekat semua panggilan dan komunikasi.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan denda jika disabitkan kesalahan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Tasman Hukman di talian 014-8618690 bagi membantu siasatan.
Mohd Farhan turut menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap tawaran mendapatkan semula wang yang hilang akibat penipuan, terutama yang meminta bayaran pendahuluan.
“Sentiasa semak kesahihan individu atau firma guaman sebelum membuat sebarang pembayaran. Hentikan komunikasi serta-merta dan buat laporan kepada pihak berkuasa jika menerima tawaran yang meragukan,” katanya.
