ARTIKEL

Gambar hiasan. |Freepik.com

Wanita tempatan hilang RM270,800 terperdaya love scam

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MIRI: Kepercayaan yang diberi sepenuh hati berakhir dengan kerugian besar apabila seorang wanita tempatan berusia awal 40-an terpaksa menelan hakikat kehilangan RM270,800 selepas terjerat dalam sindiket ‘love scam’ yang bermula melalui media sosial.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah mengesahkan, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD) Miri menerima satu laporan polis berhubung kes tersebut semalam.

Menurut beliau, kejadian bermula sekitar Oktober 2025 apabila mangsa berkenalan dengan seorang lelaki melalui aplikasi Facebook yang memperkenalkan diri sebagai warga United Kingdom menggunakan nama Kenneth Liu Zhang.

“Hubungan tersebut kemudiannya diteruskan melalui aplikasi WhatsApp dan menjadi semakin rapat,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Farhan menambah, suspek memaklumkan bahawa dia akan datang ke Malaysia untuk bertemu mangsa pada 22 Disember 2025.

Namun, pada tarikh berkenaan, mangsa menerima satu panggilan telefon daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai pegawai kastam dan memaklumkan bahawa rakan mangsa itu ditahan di Pejabat Kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana membawa wang tunai melebihi had dibenarkan.

“Mangsa seterusnya diminta untuk membuat bayaran kompaun bagi membebaskan kenalannya itu.

“Tanpa mengesyaki sebarang perkara mencurigakan, mangsa membuat 37 transaksi pindahan wang secara berperingkat ke beberapa akaun bank seperti yang diarahkan oleh suspek.

“Mangsa hanya menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan apabila pihak terbabit terus mendesaknya membuat bayaran tambahan dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah.

“Jumlah keseluruhan kerugian yang dialami mangsa dianggarkan sebanyak RM270,800,” katanya.

Beliau berkata, kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan oleh Pegawai Penyiasat Insp Sisim Abd Samad.

Sehubungan itu katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada ketika berkenalan melalui laman sosial serta tidak mendedahkan sebarang maklumat peribadi atau kewangan kepada individu yang tidak dikenali.

“Orang ramai juga diminta berhati-hati ketika menerima panggilan daripada pihak tidak dikenali dan membuat pengesahan dengan agensi berkaitan sebelum mengambil sebarang tindakan,” katanya.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU