KUCHING: Seorang wanita warga negara Indonesia cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Matang berhampiran Perumahan Bomba di sini, malam tadi.
Komander Operasi, PBK II Mohamad Nizam Bujang, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.10 malam.
“Sejurus tiba, pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya mendapati kemalangan melibatkan Perodua Axia dan sebuah van,” menurutnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, kata Mohamad, mangsa wanita terbabit yang dikenali sebagai Emi Herawati berada di tempat duduk belakang kereta Perodua Axia.
Katanya, mangsa mengalami kecederaan dan terpaksa dikeluarkan oleh pasukan bomba.
“Mangsa telah diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan selanjutnya.
“Kemalangan yang berlaku itu turut melibatkan sebuah van yang dipandu oleh Farizan Jemaat, 46, yang tidak mengalami sebarang kecederaan dan berjaya keluar sendiri dari kenderaannya,” katanya.
Pasukan, kata Mohamad, kemudian bertindak membersihkan tumpahan minyak menggunakan satu aliran air dari pam jentera.
Katanya lagi, setelah memastikan keadaan selamat, pasukan bertolak balik ke balai.

