SIMANGGANG: Warga emas berusia 82 tahun antara tujuh individu dicekup dalam Op Dadu kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti judi sabung ayam, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Sri Aman Deputi Superintendan Mathew Manggie berkata, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman telah melakukan serbuan di kebun kelapa sawit Jalan Melugu Skim Sri Aman.

“Pasukan kita telah berjaya menahan tujuh warga tempatan berumur dalam lingkungan 37 hingga 82 tahun.
“Turut dirampas beberapa barang dan peralatan yang disyaki digunakan untuk menjalankan kegiatan judi sabung ayam di kebun sawit tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 73(1)(g) Ordinan Veterinar Kesihatan Awam 1999.
“Jika sabit kesalahan membawa hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam atau kedua-duanya,” ujarnya.
Mathew mengingatkan masyarakat agar sentiasa patuh kepada arahan pihak berkuasa dan meminta supaya tidak terlibat dengan aktiviti yang menyalahi undang-undang.



