BAU: Lelaki warga emas antara individu yang ditahan dalam satu operasi pemeriksaan berkaitan dadah di sekitar Bau, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A. Rahman berkata, seramai 13 lelaki berusia antara 19 hingga 66 tahun ditahan dalam operasi yang berlangsung sekitar 4.45 hingga 9.30 pagi.
Katanya, ia melibatkan pemeriksaan di beberapa lokasi sekitar Kampung Barieng, Kampung Segong, Kampung Apar, Kampung Grogo dan Kampung Pangkalan, Bau, Sarawak.
“Dalam operasi tersebut, polis menahan 13 individu lelaki yang disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Haide menambah, hasil pemeriksaan mendapati tiga daripada suspek ditahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah disyaki syabu.
Menurut beliau, ujian saringan awal air kencing yang dijalankan terhadap kesemua suspek mendapati mereka positif dadah.
“Kesemua individu tersebut ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 untuk siasatan lanjut.
“Sebarang pelibatan dalam penyalahgunaan dadah akan dikenakan tindakan tegas selaras dengan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah diminta menyalurkannya kepada pihak polis melalui Hotline JSJN Bukit Aman di talian 012-208 7222 atau Hotline JSJN IPK Sarawak di 017-592 9211,” katanya lagi.



