KOTA BELUD: Seorang warga emas wanita yang dilaporkan hilang sejak 15 Disember lalu ditemukan meninggal dunia pagi ini selepas operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) hari keenam dijalankan di Kampung Tambulion Laut.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kota Belud, mangsa ditemukan sekitar jam 10 pagi di sektor kawasan pertanian Tambulion Luminodip selepas pencarian berperingkat dilaksanakan sejak awal operasi.
Mangsa, Minun Kasim, 83, ditemukan kira-kira 1.7 kilometer dari Pusat Kawalan Tempat Kejadian hasil operasi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA serta penduduk kampung.
Komander Operasi, Thomas Bolu berkata pasukan SAR berdepan kesukaran membawa keluar mangsa berikutan keadaan kawasan berpaya serta paras air sungai yang dalam sebelum menggunakan laluan alternatif bagi memastikan proses pengeluaran dapat dilakukan dengan selamat.
“Mangsa berjaya dikeluarkan dari kawasan paya dan dibawa ke jalan utama menggunakan kenderaan utiliti bomba sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.40 tengah hari selepas pasukan penyelamat memastikan tiada lagi risiko bahaya di lokasi kejadian. — TVS





