SRI AMAN: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang sejak Rabu ditemukan meninggal dunia di kawasan semak di penghujung Jalan Sinjor, kira-kira 1.5 kilometer dari kediamannya, hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Madang Imban, 75, dari Rumah Anjar, Rumah Panjang Sinjor, Pasir Panas.
Ketua Polis Daerah Sri Aman, Superintendan Dennis Bunyam berkata, mangsa dipercayai keluar dari rumah tanpa pengetahuan ahli keluarganya pada awal pagi 29 Julai.
Menurutnya, ahli keluarga bersama-sama penduduk kampung menjalankan usaha pencarian, namun gagal menemui mangsa sebelum laporan polis dibuat pada 7.45 pagi semalam.
“Susulan laporan itu, Operasi Mencari dan Menyelamat (Op SAR) diaktifkan pada jam 9 pagi dengan membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung.
“Pada kira-kira 11.10 pagi tadi, pasukan Op SAR menemukan mangsa dalam keadaan terlentang di kawasan semak di penghujung Jalan Sinjor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan awal terhadap fizikal luar badan mangsa tidak menemukan sebarang kesan kecederaan.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Sri Aman II untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
“Operasi SAR ditamatkan pada jam 11.30 pagi selepas mangsa berjaya ditemukan,” ujarnya.
Dennis turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi penyelamat dan penduduk kampung yang terlibat dalam operasi berkenaan.-TVS

