MIRI: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki warga emas dipercayai hilang semasa hendak ke kebunnya di Kampung Tiris Bekenu pada 20 Mac lalu dimulakan hari ini.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam satu kenyataan berkata warga emas dikenali sebagai Salim Dris, 72 , dipercayai tidak pulang ke rumah sejak keluar ke kebun.
“Anak mangsa melaporkan bahawa bapanya telah keluar ke kebun pada 20 Mac lalu sekitar jam 10 pagi, namun hingga kini bapanya belum pulang dan membuat laporan kehilangan di Balai Polis Bekenu,” katanya.
Tambah anak mangsa, sebelum ini bapanya ada keluar ke rumah namun boleh balik ke rumah dengan selamat.
Dris dikatakan berpakaian berbaju biru dan berseluar pendek hitam ketika keluar dari rumah untuk ke kebun.
Kali terakhir mangsa dilihat oleh orang kampung di jambatan Rumah Panjang Albion Tiris, pada 20 Mac 2023.
Sehubungan itu, satu SAR telah dijalankan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Niah bersama agensi lain dilokasi pada Khamis.
SAR yang dimulakan pagi Khamis itu turut disertai Angkatan Pertahanan Awam Miri, Polis, Rela dan penduduk kampung.


