SELANGAU: Seorang lelaki warga emas maut dalam kejadian langgar lari di Kilometer 96, Jalan Sibu-Bintulu, semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.20 pagi itu melibatkan penunggang motosikal dengan sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti.
“Akibat kemalangan tersebut, mangsa, 70, telah meninggal dunia di tempat kejadian disebabkan cedera parah di bahagian kepala dan badan.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa dilanggar oleh sebuah kenderaan lain setelah terbabit dengan kemalangan kendiri,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Sehubungan itu, katanya, Ibu Pejabat Polis Daerah Mukah sedang giat mengesan kenderaan yang melanggar mangsa.
Jelas Rizal, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tambahnya, saksi kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kes Inspektor Mohd Rahmat Jalimin di talian 011-31627137 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.


