BELAGA: Seorang kelindan lori maut selepas lori 12 tan yang sarat dengan muatan batu yang dinaikinya terbabas dan terbalik di Jalan Murum, di sini, semalam.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada pukul 1.48 petang.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Belaga dikerahkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan kerja- kerja menyelamat.
“Setibanya di lokasi, didapati pemandu lori dan kelindannya yang tidak sedarkan diri berada di luar kenderaan yang terbalik di tepi jalan, ujarnya.
Mangsa yang dikenali sebagai Chua Peng Yam, 70 disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramedik dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk dibawa ke hospital.
Sementara itu, pemandu berusia 41 tahun itu hanya mengalami kecederaan ringan dan diberi rawatan awal di tempat kejadian sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.


