KUCHING: Bermula dengan iklan pelaburan saham di Facebook, seorang lelaki tempatan berusia 74 tahun mengalami kerugian RM220,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan dalam talian yang dipercayai tidak wujud.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu, pada 31 Julai lalu, mangsa yang berada di rumah melihat iklan pelaburan saham menerusi aplikasi Facebook sebelum menekan pautan WhatsApp yang disediakan.
“Mangsa kemudian dihubungi individu menggunakan nombor 011-28273976 yang memperkenalkan diri sebagai pentadbir pelaburan Network 1 Agency Sdn Bhd, sebelum dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp pelaburan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah bahawa mangsa kemudiannya diarahkan menekan pautan laman sesawang Network 1 Agency Sdn Bhd bagi tujuan memasukkan dana atau modal pelaburan dengan tawaran keuntungan lumayan.
Katanya, mangsa membuat pembayaran secara berperingkat ke dalam empat akaun bank berbeza yang membabitkan lapan transaksi pindahan wang secara dalam talian.
“Mangsa mula menyedari dirinya ditipu selepas gagal mengeluarkan keuntungan yang dipaparkan dalam akaun aplikasi pelaburan tersebut,” katanya lagi.
Tambah Alexson, akibat kejadian itu mangsa mengalami kerugian berjumlah RM220,000.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan dengan cara tidak jujur mendorong seseorang menyerahkan harta.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun, selain sebatan dan denda,” katanya.
“Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya menyemak terlebih dahulu senarai entiti berlesen menerusi laman web Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebelum membuat sebarang pelaburan,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya akan tawaran pelaburan di media sosial yang menjanjikan keuntungan lumayan.
Katanya, sekiranya menyedari telah menjadi mangsa penipuan dan mengalami kerugian, orang ramai boleh membuat aduan kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 dalam tempoh 24 jam.
“Sebarang aktiviti mencurigakan juga boleh dilaporkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak menerusi talian 011-62890089 atau e-mel kjsjkswk@rmp.gov.my,” katanya.


