Warga emas yang disyaki hilang di Tatau ditemui selamat

BINTULU: Warga emas wanita yang dikhuatiri hilang di kawasan hutan belakang Rumah Bair, Bandar Samarakan Tatau, Jumaat lalu ditemui dalam keadaan selamat oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira jam 11.06 pagi tadi.

Rami Jeti, 78, ditemui pasukan SAR pada jarak 400 meter ke dalam kawasan hutan belakang rumah panjang berkenaan.

Semasa ditemui, mangsa berada dalam keadaan lemah dan cedera ringan.

Mangsa kemudiannya dibawa keluar dari hutan menggunakan pengusung khas sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Tatau untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, mangsa sering ke kawasan hutan belakang rumah panjang berkenaan melalui pintu belakang bilik mereka, namun beliau balik semula ke rumah sebelum malam.

Suara Sarawak