LAWAS: Seorang lelaki warga Indonesia berusia 40 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Lawas, Isnin lalu, atas pertuduhan menggunakan senapang patah tanpa lesen yang menyebabkan kematian seorang lelaki tempatan akibat kecuaian pada pertengahan bulan lalu.
Tertuduh berdepan dua pertuduhan berhubung kejadian pada 17 September 2026, kira-kira jam 1.30 pagi di Kawasan Ulu Merarap, Jalan Bakelalan, di sini.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menyebabkan kematian mangsa akibat perbuatan cuai yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh, iaitu dengan melepaskan tembakan senapang patah ke arah mangsa.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Tertuduh turut didakwa menggunakan senapang patah tanpa lesen, sekali gus berdepan pertuduhan kedua mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Kes disebut di Mahkamah Majistret Lawas di hadapan Hakim Mahkamah Limbang dan Lawas, Puan Cindy Mc Juce Balitus menerusi prosiding secara telesidang.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Mahkamah menetapkan 12 Oktober 2026 untuk sebutan semula kes semasa sidang litar mahkamah di Lawas.



