ARTIKEL

Tertuduh diiring keluar dari bilik mahkamah oleh anggota polis selepas prosiding selesai, hari ini.

Warga Indonesia dipenjara sembilan bulan akibat tinggal lebih masa, judi dalam talian

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seorang lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara berjumlah sembilan bulan oleh dua mahkamah berasingan di sini hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan tinggal lebih masa di negara ini dan menjalankan kegiatan pertaruhan bola sepak dalam talian sempena Piala Dunia FIFA 2026.

Di Mahkamah Sesyen, Hakim Musli Ab Hamid menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap Bong, 37, sebaik sahaja tertuduh mengaku bersalah tinggal di Malaysia melebihi tempoh sah Pas Lawatan Sosial miliknya.

Kesalahan itu dilakukan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(4) akta yang sama.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara tersebut berkuat kuasa bermula tarikh sabitan hari ini.

Semasa merayu hukuman diringankan, Bong yang merupakan seorang duda dan mempunyai seorang anak berusia 12 tahun memaklumkan mahkamah bahawa dia bekerja sebagai pengendali perjudian dalam talian di Kuching dengan pendapatan RM1,200 sebulan.

Anaknya kini tinggal bersama bekas isterinya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh ditahan di sebuah kafe di Batu 17, Siburan di Jalan Kuching-Serian kira-kira jam 3.45 petang pada 24 Jun lalu.

Siasatan mendapati tertuduh memasuki Sarawak melalui Kompleks Imigresen Biawak pada 7 Mac menggunakan Pas Lawatan Sosial, namun gagal meninggalkan Malaysia selepas pas tersebut tamat tempoh pada 5 April lalu.

Rekod Jabatan Imigresen menunjukkan tertuduh tinggal lebih masa di Sarawak selama dua bulan 17 hari tanpa alasan munasabah.

Dalam prosiding berasingan di hadapan Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali, Bong turut mengaku bersalah atas pertuduhan membuat pertaruhan bola sepak dalam talian berkaitan Piala Dunia FIFA 2026 mengikut Seksyen 6(1) Akta Pertaruhan 1953.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan terhadapnya.

Mahkamah diberitahu bahawa Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan menyerbu premis berkenaan menerusi Op Soga XI selepas membuat pemantauan selama kira-kira 15 minit.

Semasa serbuan dijalankan, tertuduh gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

Pemeriksaan terhadap telefon bimbit miliknya menemukan akses ke laman sesawang perjudian dalam talian yang mengandungi rekod pertaruhan bola sepak bagi Piala Dunia FIFA 2026.

Polis turut merampas telefon bimbit berkenaan serta wang tunai berjumlah RM126.

Pakar kemudian mengesahkan telefon bimbit itu digunakan sebagai medium untuk membuat pertaruhan dalam talian, sekali gus menyokong pertuduhan di bawah Akta Pertaruhan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Asmawi Nurhaqim Mokhtar dan Muhammad Aidil Akmal Sharidan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU