MIRI: Seorang warga Indonesia yang disyaki dibaham buaya semasa memancing di Kuala Baram pada Khamis lalu telah ditemukan dalam keadaan tidak sempurna pada pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong, Henry Jugah, berkata mayat mangsa yang dikenali sebagai Salim, 49, yang disyaki menjadi mangsa serangan reptilia berkenaan, ditemui sekitar jam 11.15 pagi.
“Mayat mangsa dijumpai di lokasi kira-kira enam kilometer dari pos kawalan bomba (PKB).
“Bagaimanapun, ketika ditemui, anggota badan mangsa tidak lagi dalam keadaan sempurna kerana kedua-dua kaki dan tangannya tiada.
“Lebih menyayat hati lagi apabila kepala mangsa juga sudah tiada lagi,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Mangsa telah dilaporkan hilang pada Khamis lalu sekitar jam 4.50 petang setelah disyaki dibaham buaya semasa memancing berdekatan jambatan ASEAN di Kuala Baram.
Susulan itu, pasukan bomba dari BBP Lutong telah menjalankan operasi pencarian mangsa di sekitar kawasan mangsa dilaporkan hilang.
Operasi ditamatkan pada hari keempat pencarian setelah mayat mangsa ditemukan.




