BINTULU: Seorang lelaki warga negara Indonesia maut selepas lori yang dipandunya terbabas sebelum merempuh pokok di hadapan Kilang Daiken, Kidurong, hari ini.
Insiden kira-kira jam 4.20 petang itu mengakibatkan mangsa, Mohamad Arif, 50, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah yang dialaminya.
Jurucakap bomba berkata pihaknya menerima laporan tentang kejadian itu pada jam 4.30 petang sebelum mengarahkan sepasukan anggota ke lokasi berkenaan.
“Setibanya di lokasi kejadian, bomba mendapati kemalangan kendiri itu melibatkan sebuah lori tiga tan yang dipandu mangsa.
“Kenderaan itu terbabas di tepi jalan dan melanggar sebatang pokok, mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.
Jurucakap itu berkata operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit dilakukan dengan menggunakan peralatan khas sehingga mangsa berjaya dikeluarkan.
Sebaik sahaja berjaya dikeluarkan, katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.


