Waris pesakit bernama Ong Johny dicari

BINTULU: Hospital Bintulu memohon bantuan orang ramai bagi mengesan ahli keluarga atau waris kepada pesakit lelaki bernama Ong Johny berumur 25 tahun yang kini berada di Wad Perubatan Lelaki hospital berkenaan.

Menurut Pegawai Kerja Sosial Perubatan hospital itu, Shellyvia Anak Robinson, pesakit telah menerima rawatan di Wad Perubatan Lelaki Hoospital Bintulu sejak 22 Julai lalu.

Menurutnya, pesakit menyatakan sebelum dirawat di hospital berkenaan, beliau tinggal bersama keluarga angkat di Kampung Jabai, di sini selama tujuh tahun .

Pesakit turut memaklumkan bapa beliau telah meninggalkannya sejak beliau berusia 16 tahun yang mana pada ketika itu, pesakit ditinggalkan bersama rakan- rakan sekerja bapanya dan sehingga kini, bapanya yang dikenali sebagai Ong Kok Mi beralamat di Sungai Anak, Roban tidak pernah mencari pesakit.

Malah, Shellyvia berkata, pihaknya turut dimaklumkan pesakit bahawa kedua- dua ibubapanya telah bercerai sewaktu beliau masih kecil yang mana beliau dijaga oleh bapanya manakala kakaknya pula mengikut ibu mereka.

Menurut Shellyvia lagi, keadaan pesakit telah stabil dan beliau dibenarkan pulang ke rumah pada bila- bila masa.

Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali pesakit atau warisnya agar segera menghubungi beliau (Shellyvia)di talian 086-859000 sambungan 2020 atau waris dimohon datang ke Wad Perubatan Lelaki Hospital Bintulu.