BINTULU: Warisan budaya masyarakat Kayan perlu terus dipelihara dan diperkasakan sebagai aset strategik yang berupaya menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor pelancongan dan ekonomi kreatif, sekali gus menyumbang kepada pembangunan mampan Sarawak.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata keunikan adat resam, bahasa, seni budaya dan tradisi masyarakat Kayan merupakan khazanah bernilai tinggi yang bukan sahaja mencerminkan identiti komuniti itu, malah mempunyai potensi besar untuk diketengahkan sebagai produk pelancongan berasaskan budaya.

Beliau berkata usaha memelihara warisan budaya perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan nilai, identiti dan jati diri masyarakat tidak terhakis dalam arus pemodenan yang semakin pesat.
“Warisan budaya masyarakat Kayan merupakan khazanah yang amat bernilai. Ia bukan sahaja perlu dipelihara, malah harus diperkasakan sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi, khususnya dalam sektor pelancongan dan ekonomi kreatif.
“Dalam dunia yang semakin moden dan mencabar, identiti budaya merupakan kekuatan yang tidak ternilai. Oleh itu, peranan pertubuhan masyarakat seperti Persatuan Kayan Sarawak amat penting dalam memastikan warisan ini terus hidup, berkembang dan diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang disampaikan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khasnya, Steven Kong Kai Seng, pada Majlis Makan Malam Do Ledoh Persatuan Kayan Sarawak (PKS) Cawangan Bintulu di sebuah restoran terkenal di sini, Sabtu malam.
Menurut Tiong, pembangunan ekonomi dan pemerkasaan budaya tidak boleh dilihat sebagai dua agenda yang berasingan, sebaliknya perlu bergerak seiring bagi memastikan kemajuan yang dicapai tidak mengorbankan nilai serta identiti masyarakat.
Beliau berkata Sarawak kini berada pada fasa penting pembangunan apabila negeri itu giat memperkukuh kedudukannya sebagai hab perindustrian karbon rendah yang berdaya saing dan mampan di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Jelas Ahli Parlimen Bintulu itu, aspirasi tersebut memerlukan keseimbangan antara pembangunan ekonomi, kemajuan teknologi dan pemeliharaan warisan budaya agar identiti negeri terus kekal utuh meskipun berdepan perubahan landskap global.
“Pembangunan yang berjaya bukan hanya diukur melalui pertumbuhan ekonomi semata-mata, tetapi juga keupayaan sesebuah masyarakat mengekalkan warisan budaya yang menjadi asas kepada jati diri dan perpaduan rakyat,” katanya.
Beliau berkata kejayaan agenda pembangunan negeri turut bergantung kepada kerjasama erat antara kerajaan dan masyarakat menerusi penglibatan aktif pertubuhan komuniti yang berfungsi sebagai jambatan penghubung di peringkat akar umbi.
Dalam pada itu, Tiong menegaskan kestabilan politik yang dinikmati Sarawak menerusi pentadbiran Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjadi faktor utama yang membolehkan pelbagai agenda pembangunan dilaksanakan secara konsisten dan berkesan.
Menurutnya, kestabilan tersebut telah mewujudkan persekitaran kondusif untuk memperkukuh ekonomi hijau, pembangunan lestari serta pelbagai inisiatif yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Beliau turut menyeru generasi muda Kayan agar terus mempertahankan warisan budaya yang diwarisi turun-temurun selain melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran serta meningkatkan daya saing bagi merebut peluang yang diwujudkan menerusi pembangunan negeri.
“Generasi muda perlu menjadi pewaris budaya yang bertanggungjawab serta pada masa yang sama tampil sebagai pemacu kemajuan masyarakat dalam pelbagai bidang demi memastikan komuniti Kayan terus relevan dan berdaya saing pada masa hadapan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada PKS Cawangan Bintulu atas penganjuran majlis berkenaan yang disifatkan sebagai platform penting dalam mengukuhkan perpaduan, mempereratkan hubungan silaturahim dan menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat Kayan.
“Semoga majlis seperti ini terus menjadi wadah yang menyatukan masyarakat, memperkukuh identiti budaya serta menyokong usaha pembangunan komuniti Kayan di seluruh Sarawak,” katanya.

