ARTIKEL

Yakub dan Royston bersama yang lain dalam Majlis Ngiling Bidai Gawai Peringkat Daerah Mukah, semalam.

Warisan budaya perlu dipelihara demi generasi muda

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BALINGIAN: Adat resam, budaya dan bahasa warisan masyarakat perlu terus dipelihara serta diwariskan kepada generasi muda agar tidak luput ditelan arus pemodenan dan pengaruh luar yang semakin berkembang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, tanggungjawab memelihara warisan budaya tidak boleh dipandang ringan kerana ia merupakan identiti yang mencerminkan jati diri sesuatu masyarakat.

Yakub dan Royston bersama yang lain pada Majlis Ngiling Bidai Gawai Peringkat Daerah Mukah, semalam.

“Generasi muda perlu dididik dan didedahkan dengan sejarah, adat resam, budaya serta bahasa kaum masing-masing supaya warisan yang ditinggalkan oleh nenek moyang terus kekal terpelihara.

“Adat resam dan budaya ialah identiti kita dan ia perlu dijaga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ngiling Bidai Gawai Peringkat Daerah Mukah di Rumah Panjang Pantau Telajan, Sungai Setuan Besar, di sini, semalam.

Menyentuh mengenai sambutan Ngiling Bidai, beliau berkata, ia bukan sekadar menjadi medan untuk berkongsi juadah, malah melambangkan perpaduan, semangat kekeluargaan serta penghargaan terhadap adat dan budaya yang diwarisi sejak turun-temurun.

Jelasnya, sejak dahulu hingga kini, sambutan Gawai Dayak menjadi antara perayaan yang berjaya mengeratkan hubungan silaturahim, memupuk semangat kerjasama dan menyemai rasa kasih terhadap kehidupan bermasyarakat.

Sehubungan itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur, ketua masyarakat, ketua kaum, golongan belia serta seluruh penduduk yang berganding bahu menjayakan majlis berkenaan.

“Kejayaan menganjurkan program berskala besar seperti itu tidak mungkin dapat dicapai tanpa sokongan dan kerjasama semua pihak.

“Semangat gotong-royong dan permuafakatan yang ditunjukkan pada malam ini membuktikan nilai tersebut masih kukuh diamalkan dalam kalangan masyarakat di Mukah,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kehadiran masyarakat daripada pelbagai kaum, agama dan latar belakang budaya dalam suasana harmoni mencerminkan perpaduan yang terus utuh di Sarawak, khususnya di kawasan Balingian dan Mukah.

Tambahnya, keharmonian yang dikecapi hari ini perlu terus dipelihara kerana menjadi asas kepada keamanan, kestabilan serta pembangunan negeri.

Hadir sama, ADUN Tellian, Royston Valentine; Pegawai Daerah Mukah, Peleadzman Ahip; Penghulu Langi Telajan; dan Tuai Rumah Pantau Telajan.

Terdahulu, Yakub turut menyempurnakan perasmian projek Transformasi Luar Bandar (RTP) benteng hakisan sungai di rumah panjang berkenaan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU