KUCHING: Warisan budaya dan tekstil Sarawak berdiri sebagai model hidup tentang bagaimana tradisi harus dipelihara, diamalkan dan dibawa ke masa hadapan.
Seri Paduka Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah, Sarawak bertuah kerana memiliki institusi yang membentuk ekosistem warisannya.
Ini termasuk Juma’ani Pavilion, Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS), Yayasan Tun Jugah, Kraf Tanoti dan pereka fesyen Tom Abang Saufi.
“Sarawak bukan sekadar memelihara warisan malah menghidupkannya. Golongan muda di sini membawanya dengan bangga, institusi negeri ini memupuknya, muzium-muzium pula mengiktirafnya dan pihak kerajaan terus melindunginya.
“Sarawak merupakan contoh bagaimana warisan harus dihayati, dihidupkan dan dibawa ke hadapan,” katanya ketika bertitah menyampaikan ucaptama pada Seminar Festival Tekstil Antarabangsa Borneo 2025 (BITF25) di Hotel Pullman, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, baginda menggambarkan landskap budaya Borneo sebagai sangat luar biasa dan penuh kepelbagaian, dengan komuniti seperti Melayu, Dayak, Orang Ulu, Kadazan-Dusun, Murut, Melanau, Penan, Bajau, Iban dan Bidayuh menyumbang kepada fabrik budaya.
Katanya, setiap kumpulan etnik mempunyai reka bentuk tersendiri serta motif yang menyampaikan pandangan dunia, kepercayaan spiritual dan hubungan dengan alam semula jadi.
Tekstil tambahnya, secara sejarah dianggap sebagai objek suci yang membawa doa, salasilah dan makna yang melangkaui hiasan semata-mata.
“Keindahan tekstil Borneo sebenarnya merupakan cerminan keindahan masyarakatnya.
“Di sebalik setiap motif, setiap tenunan, setiap manik tersimpan mitos — kisah para penjaga, pahlawan nenek moyang dan alam ghaib Borneo. Cerita-cerita inilah yang menghidupkan tekstil,” katanya.
Sementara itu, Tunku Azizah turut merakamkan penghargaan kepada wanita Borneo, menggambarkan mereka sebagai penenun, pewarna dan artisan manik yang mahir, membawa ilmu dan disiplin dalam membentuk identiti budaya.
Tambahnya, kaum lelaki juga memainkan peranan penting sebagai artisan, pengukir, penggiat tatu, pemuzik dan pereka.
“Di mana ada tenunan di situ ada wanita; dan apabila wanita memimpin, sesebuah tamadun berkembang. Namun warisan bukan hanya di tangan wanita.
“Ramai lelaki merupakan artisan, pengukir, pembuat topeng, penggiat tatu, pemuzik dan pereka yang luar biasa dan kadangkala lebih hebat daripada kami!
“Warisan adalah milik kita semua, bersama-sama,” tambahnya.

