KUCHING: Warisan Ikan Tahai menjadi jambatan perpaduan apabila mahasiswa pelbagai latar belakang dari seluruh Malaysia dihimpunkan di Kampung Punang Baru menerusi program Y-HARVEST 3.0 anjuran Yayasan Perpaduan Sarawak (YPS).
Menurut kenyataan YPS, Program Belia untuk Harapan, Tindakan dan Pemerkasaan Kehidupan Luar Bandar Secara Lestari (Y-HARVEST) kembali untuk edisi ketiga dengan menghimpunkan mahasiswa berusia antara 18 hingga 30 tahun bagi mengikuti pengalaman pembelajaran secara langsung bersama komuniti setempat.
“Y-HARVEST 3.0 memberi tumpuan kepada industri desa tradisional, khususnya penghasilan Ikan Tahai, yang menjadi warisan komuniti nelayan setempat dan diwarisi secara turun-temurun.
“Menerusi penglibatan secara langsung, peserta akan didedahkan kepada proses penghasilan Ikan Tahai, operasi rumah asap, pengurusan sumber, pemasaran produk serta peranan perusahaan desa dalam menyokong kelangsungan ekonomi dan kehidupan masyarakat setempat,” menurut kenyataan itu.
Program berkenaan turut memberi peluang kepada peserta memahami bagaimana amalan tradisional dapat dipelihara sambil disesuaikan dengan keperluan masa hadapan menerusi inovasi dan amalan lestari.
“Selain pemeliharaan warisan, Y-HARVEST 3.0 turut menjadi platform membina persefahaman, kepercayaan dan rasa hormat antara peserta daripada pelbagai latar etnik, budaya dan agama.
“Melalui aktiviti bersama komuniti, peserta berpeluang bertukar pengetahuan, memahami cara hidup berbeza serta membina hubungan yang mencerminkan kepelbagaian masyarakat Sarawak dan Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Program itu turut memberi penekanan kepada pembangunan kemahiran belia dalam pembuatan produk tradisional, inovasi, pemasaran strategik dan pembangunan perusahaan secara lestari.
“Kemahiran tersebut diharap dapat memperkasa golongan muda untuk menyokong pelbagai inisiatif berasaskan komuniti, di samping membantu memelihara pengetahuan tradisional dan sumber pendapatan masyarakat luar bandar.
“Selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030), Y-HARVEST 3.0 memberi perhatian kepada aspek pembangunan belia, pertumbuhan komuniti secara inklusif, kelestarian ekonomi dan pemeliharaan warisan budaya Sarawak,” tambah kenyataan itu.
Menerusi penglibatan mahasiswa dan komuniti setempat, program itu diharap dapat memperkukuh jaringan antara generasi serta mencetuskan usaha bersama ke arah kehidupan dan ekonomi luar bandar yang lebih mampan.




