KUCHING: Pentas peragaan baru-baru ini bertukar menjadi medan penyatuan budaya dan semangat kenegaraan menerusi Pertandingan Fesyen dan Gaya Patriotik Kanak-Kanak serta Remaja ‘Mr, Mini & Little Miss Patriotic 3.0’.
Program anjuran AI Dot Com itu menghimpunkan 16 peserta kanak-kanak dan remaja daripada pelbagai latar belakang dalam persaingan yang sihat, kreatif dan penuh warna-warni.

Memasuki edisi ketiga, pertandingan bertemakan ‘Warna Perpaduan’ itu membawa mesej patriotisme dan perpaduan dalam kalangan generasi muda menerusi pengolahan busana tradisional serta elemen Jalur Gemilang.
Pengasas AI Dot Com, Awang Amirul Hafizan Awang Daili, berkata keunikan rekaan pakaian yang ditampilkan bukan sekadar menonjolkan keindahan busana, malah menjadi medium untuk menyemai semangat patriotik dalam jiwa generasi muda.

“Acara ini mengajak anak-anak cilik untuk sentiasa mengenang dan menghargai jasa serta pengorbanan pejuang kemerdekaan tanah air tanpa membezakan warna kulit, bangsa mahupun agama.
“Pertandingan fesyen seumpama ini membuktikan bahawa seni busana mampu menjadi medium moden untuk mengenali, menghargai dan mengangkat warisan budaya Malaysia,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak di pusat beli-belah Plaza Merdeka, baru-baru ini.

Menurutnya, penglibatan peserta daripada pelbagai kaum dalam satu pentas turut mengeratkan silaturahim serta memupuk rasa hormat terhadap kepelbagaian tradisi yang menjadi identiti negara.
Katanya, pertandingan itu turut menyemai rasa cinta kepada negara melalui penghayatan terhadap pakaian warisan tradisional.

“Selain memupuk rasa bangga sebagai anak Malaysia, acara ini turut mendorong kreativiti generasi muda untuk mengolah busana tradisional dalam bentuk gaya moden dan futuristik tanpa menghilangkan nilai warisan asal,” katanya.
Kreativiti ibu bapa, kriteria penilaian juri
Dalam pada itu, Awang Amirul mengakui persediaan dan komitmen ibu bapa turut menjadi antara faktor penting dalam menjayakan pertandingan berkenaan.
Katanya, meskipun peserta diberi kebebasan dari segi gaya dan rekaan busana, setiap rekaan diwajibkan menampilkan gabungan warna Jalur Gemilang iaitu merah, putih, biru dan kuning, selain mengekalkan unsur patriotik yang jelas.

“Dari sudut pemarkahan, juri profesional membuat penilaian menyeluruh merangkumi aspek busana dan tema, kreativiti, gaya peragaan, tatarias, kekemasan serta undian awam.
“Elemen busana dan kesesuaian tema patriotik menjadi antara komponen utama dengan wajaran markah terbesar dalam menentukan pemenang bagi setiap kategori,” katanya.
Inovasi edisi 3.0, pembangunan bakat cilik
Menurutnya, edisi ketiga kali ini turut diperkasakan menerusi kolaborasi strategik antara AI Dot Com Management, Cass Photostudio dan Plaza Merdeka.
“Penambahbaikan utama tahun ini dapat dilihat menerusi hadiah yang lebih lumayan daripada para penaja, sekali gus memberikan kegembiraan kepada semua peserta.

“Platform ini turut memberi impak terhadap pembangunan sahsiah kanak-kanak dan remaja di Sarawak.
Selain mengasah bakat peragaan seperti teknik catwalk, kawalan pentas dan ekspresi wajah, pertandingan ini meningkatkan keyakinan diri serta keberanian berkomunikasi di hadapan khalayak.

“Ia turut membentuk disiplin, mentaliti positif dan semangat kerja berpasukan sejak usia muda,” katanya.
Justeru, pihak penganjur berharap pertandingan itu bukan sekadar menjadi acara fesyen tahunan, sebaliknya berkembang sebagai wadah berterusan untuk menyatukan masyarakat, menyemarakkan patriotisme serta memastikan warisan budaya terus dihargai generasi akan datang.

Kemuncak pertandingan menyaksikan Aaira Inara Putit dinobatkan sebagai juara kategori Mini Miss, diikuti Arianna Cassandra Henry sebagai naib juara, manakala Angelica Christine Jong menduduki tempat ketiga.
Bagi kategori Little Miss, Cinta Izzara Subhi muncul juara, manakala Siti Nur Qaseh Aleya Mahmud Zainal Ariffin sebagai naib juara dan Nur Nia Ramadhani Nur Hisyam di tempat ketiga.

Sementara itu, Muhammad Firash Danish Yusri dinobatkan sebagai juara kategori Mister, diikuti Muhamad Airish Zaffran Syahid Akmal sebagai naib juara dan Muhd Dhabit Falih Ermandi di tempat ketiga.






