DALAM landskap media tempatan yang sentiasa bergerak pantas, peranan wartawan bukan sekadar melaporkan peristiwa, tetapi turut merakam detik sejarah yang membentuk identiti negara.
Bagi Presiden Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA), Ronnie Teo Teck Wei, setiap sambutan Hari Malaysia membawa peringatan penting tentang erti kebersamaan dan kedudukan unik Sarawak dalam Persekutuan.
1. Apabila menyebut Hari Malaysia, apakah satu perkataan pertama terlintas dalam fikiran anda sebagai rakyat Sarawak dan pengamal media?
“Kesatuan” atau “kebersamaan”.
Bagi saya, Hari Malaysia mengingatkan kita bahawa negara ini dibentuk melalui penyatuan wilayah dan masyarakat yang mempunyai sejarah, budaya serta identiti tersendiri.
Dari perspektif Sarawak, perkara ini sangat penting kerana mengingatkan kita tentang kedudukan Sarawak dalam pembentukan Malaysia.
Sebagai pengamal media, kita bertanggungjawab memastikan sejarah dan makna tersebut terus difahami oleh generasi akan datang.
2. Sebagai wartawan yang bertugas pada Hari Malaysia, bagaimanakah perasaan anda apabila perlu bekerja ketika seluruh negara bercuti?
Bagi wartawan, bertugas pada Hari Malaysia merupakan lumrah pekerjaan.
Ketika orang lain hadir untuk menikmati sambutan, kami berada di lapangan untuk merakam, menulis dan menyampaikan peristiwa yang berlaku kepada masyarakat.
Memang ada tekanan untuk mengejar berita, gambar dan tarikh akhir, tetapi timbul satu kepuasan apabila menyedari laporan yang dihasilkan hari ini menjadi sebahagian daripada rekod sejarah pada masa hadapan.
3. Apakah detik atau suasana di lapangan yang paling berbekas dalam ingatan anda sepanjang bertugas pada Hari Malaysia?
Bagi saya, perkara yang paling berbekas bukanlah acara rasmi atau persembahan besar, sebaliknya melihat rakyat biasa daripada pelbagai kaum dan generasi berhimpun bersama.
Kita dapat melihat keluarga membawa anak-anak, golongan muda, warga emas dan masyarakat daripada pelbagai latar belakang meraikan hari tersebut.
Suasana sedemikian mengingatkan kita bahawa di sebalik segala perbezaan, masih wujud rasa kebersamaan yang sangat kuat.
4. Dari sudut pandang wartawan di Kuching, apakah keunikan utama sambutan Hari Malaysia di Sarawak yang patut dihayati oleh seluruh negara?
Keunikan Sarawak terletak pada kepelbagaian yang bukan sekadar disebut ketika sambutan rasmi, tetapi dihayati dalam kehidupan seharian.
Kita mempunyai pelbagai kaum, bahasa, agama dan budaya, namun masyarakat tetap boleh duduk, bekerja dan meraikan sesuatu acara bersama.
Saya berpendapat semangat ini merupakan antara perkara paling istimewa tentang Sarawak yang boleh kita kongsikan dengan seluruh Malaysia.
5. Apakah cabaran terbesar wartawan tempatan dalam menyampaikan mesej perpaduan secara tepat dan beretika pada era media sosial kini?
Cabaran terbesar ialah mengimbangi kepantasan dengan ketepatan.
Dalam media sosial, sesuatu maklumat boleh tersebar dalam beberapa saat, termasuk maklumat yang tidak tepat atau di luar konteks.
Wartawan tidak boleh sekadar mahu menjadi yang terawal, sebaliknya kita mesti memastikan laporan itu tepat, mempunyai konteks dan tidak menimbulkan salah faham, terutamanya apabila melibatkan isu sensitif seperti sejarah, kaum, agama serta hubungan antara wilayah.
6. Apakah peranan media tempatan dalam meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai sejarah Hari Malaysia?
Media tempatan memainkan peranan besar kerana kita berada paling dekat dengan masyarakat di lapangan dan memahami konteks tempatan.
Liputan Hari Malaysia tidak sepatutnya terhad kepada acara perbarisan atau sambutan sahaja.
Kita juga perlu menerangkan sejarah pembentukan Malaysia, mengetengahkan pandangan ahli sejarah dan masyarakat, serta membawa perspektif Sarawak.
Lebih penting lagi, usaha ini perlu berterusan sepanjang tahun dan bukannya hanya menjelang 16 September.
7. Jika diberi peluang melaksanakan ‘projek impian’ untuk liputan khas Hari Malaysia, apakah kisah yang ingin anda tampilkan?
Saya ingin merakam suara rakyat biasa dari seluruh Sarawak, daripada bandar Kuching hingga ke kawasan pedalaman serta komuniti yang jarang mendapat perhatian media nasional.
Saya mahu bertanyakan soalan mudah kepada mereka: “Apakah makna Malaysia kepada anda?” Jawapan daripada anak muda di bandar, petani di pedalaman mahupun warga emas yang melalui fasa perubahan sejak pembentukan Malaysia akan memberikan gambaran yang sangat menarik tentang perjalanan negara kita.
8. Bagaimanakah anda melihat semangat kebersamaan dalam kalangan pengamal media di Kuching semasa membuat liputan acara besar?
Komuniti media di Kuching mempunyai semangat kebersamaan yang sangat kuat.
Walaupun kami datang daripada organisasi, bahasa dan latar belakang yang berbeza serta bersaing untuk mendapatkan berita terbaik, kami tetap saling membantu di lapangan.
Kami berkongsi maklumat asas, membantu rakan media mendapatkan sudut gambar yang baik dan memastikan tiada sesiapa yang tertinggal.
Semangat profesionalisme dan persahabatan ini sangat penting dalam dunia kewartawanan.
9. Apakah tanggapan salah masyarakat tentang tugas wartawan semasa acara besar yang ingin anda betulkan?
Masyarakat sering menganggap wartawan hanya datang untuk mengambil gambar, mendapatkan kenyataan ringkas dan terus pulang.
Hakikatnya, tugas media bermula lebih awal dengan penyelidikan latar belakang dan persediaan untuk memahami isu.
Di lapangan pula, kami perlu menunggu berjamjam, mengejar sumber dan menghantar berita dalam tempoh yang singkat.
Selepas acara tamat, wartawan masih perlu menyemak fakta, menulis, memilih gambar dan memastikan laporan disampaikan kepada pembaca secara tepat.
10. Apakah mesej anda selaku Presiden KDJA kepada rakan media dan generasi muda sempena Hari Malaysia?
Kepada rakan media, teruskan menjalankan amanah dengan profesional, tepat dan berintegriti kerana apa-apa yang kita laporkan hari ini bakal menjadi rekod sejarah.
Kepada generasi muda pula, saya berharap mereka tidak sekadar meraikan Hari Malaysia, tetapi turut mengambil masa untuk memahami sejarah pembentukan negara pada 16 September.
Apabila kita memahami sejarah dan menghormati kepelbagaian, barulah semangat Hari Malaysia benarbenar memberi makna.


