ARTIKEL

Wartawan veteran perlu lihat wartawan muda sebagai pelapis, bukan pesaing

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Wartawan veteran perlu melihat wartawan muda sebagai pelapis dan bukannya sebagai pesaing kerana masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri yang boleh dimanfaatkan bersama.

Bekas wartawan dan personaliti televisyen, Charles Mohan berkata, generasi wartawan muda hari ini membawa pendekatan baharu, terutamanya dalam penguasaan teknologi digital dan media sosial.

“Wartawan veteran seperti saya mungkin kurang dari segi pengetahuan tentang dunia digital, sedangkan mereka yang muda sangat pantas dan aktif menggunakan media sosial.

Ini sesuatu yang kita boleh pelajari daripada mereka,” katanya ketika menjadi tetamu dalam rancangan Ruang Bicara terbitan Bernama TV.

Charles berkata, wartawan muda tidak seharusnya dipandang rendah hanya kerana usia atau kekurangan pengalaman, sebaliknya perlu dilihat sebagai pelapis yang bakal meneruskan legasi industri kewartawanan negara.

Beliau turut menggesa agar budaya menengking atau memperlekeh pandangan wartawan muda oleh editor atau wartawan senior diubah kepada pendekatan yang lebih terbuka dan saling menghormati.

“Kita perlu cipta situasi menang-menang … mereka (wartawan muda) belajar daripada pengalaman kita, dan kita pula belajar daripada cara mereka yang segar dan pantas,” katanya.

Charles berkata, hanya melalui kerjasama dan pertukaran ilmu antara generasi wartawan akan membolehkan profesion kewartawanan terus relevan, progresif dan mampu beradaptasi dengan perubahan semasa.

Pandangan Charles itu turut disokong wartawan Bernama TV, Zanariah Nor Zin yang berkata, wartawan muda banyak menyumbang idea kreatif sekali gus menjadikan kandungan digital lebih segar dan menarik.

“Kadang-kadang ada perkara ataupun pengetahuan yang kita ambil daripada wartawan muda ini.

Kalau kita lihat di platform digital Bernama sendiri, kandungan yang dihasilkan sekarang lebih segar dan lebih menarik kerana idea kreatif pelajar lepasan universiti yang sangat didedahkan dengan dunia digital.

“Saya kira dengan bakat yang mereka ada, terutama dari segi pendigitalan, jika digabungkan dengan laporan mendalam, ia akan meningkatkan kualiti laporan yang dihasilkan,” katanya. — Bernama

BERITA LAIN

RM545 juta perkukuh Internet di Sarawak

KUCHING: Sebanyak RM545 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan fasa pertama Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2 di Sarawak, melibatkan hampir 350 lokasi di seluruh negeri. Menteri Komunikasi

BERITA TERBARU

Kelibat Ayu Az’zetty curi tumpuan

BINTULU: Berbekalkan latihan selama sebulan, pendatang baharu muaythai, Ayu Az’zetty Allyya Azmi, mencuri tumpuan apabila mencatat kemenangan menerusi tumbukan teknikal (TKO) pada hari pertama Kejohanan