KUCHING: Orang ramai diingatkan agar berwaspada terhadap e-mel palsu yang menyamar dengan menggunakan nama dan identiti Sarawak Energy serta Syarikat SESCO Berhad (SESCO) untuk memperdaya mangsa menyerahkan maklumat sulit atau membuat pembayaran ke akaun bank yang tidak sah.
Sarawak Energy dalam kenyataan memaklumkan bahawa e-mel berunsur pancingan data (phishing) tersebut bukan dikeluarkan oleh syarikat berkenaan, sebaliknya menggunakan nama, penjenamaan dan identiti kakitangannya untuk meyakinkan penerima bahawa komunikasi itu adalah sah.
“Taktik berkenaan bertujuan memperdaya mangsa supaya berkongsi maklumat sulit, membuat pembayaran ke akaun yang tidak dibenarkan, atau menekan pautan serta memuat turun lampiran berbahaya yang boleh menjestakan keselamatan maklumat peribadi dan kewangan.
“Sarawak Energy tidak pernah meminta pelanggan mendedahkan kata laluan, kata laluan sekali guna (OTP) atau maklumat peribadi sensitif menerusi e-mel,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, pelanggan tidak akan diminta membuat pembayaran ke akaun bank peribadi atau akaun yang tidak dibenarkan.
“Orang ramai dinasihatkan agar menyemak alamat penuh e-mel pengirim kerana komunikasi rasmi Sarawak Energy hanya menggunakan domain @sarawakenergy.com, di samping mengesahkan sebarang permintaan luar biasa menerusi saluran rasmi syarikat.
“Pelanggan juga disarankan agar tidak membalas e-mel mencurigakan, tidak menekan pautan atau memuat turun lampiran daripada sumber yang tidak diketahui, serta mengesahkan sebarang arahan pembayaran atau perubahan butiran akaun bank sebelum melakukan transaksi,” jelas kenyataan itu.
Sarawak Energy turut mengingatkan orang ramai agar hanya membuat pembayaran menerusi saluran bil dan pembayaran yang sah.
“Berhati-hati sekiranya menerima e-mel yang kelihatan dihantar oleh kakitangan syarikat tetapi mengandungi permintaan luar biasa, pautan mencurigakan atau maklumat pengirim yang tidak konsisten.
“Sarawak Energy memberi jaminan bahawa proses pengebilan rasmi, saluran pembayaran yang sah serta operasi perkhidmatan pelanggan kekal selamat dan tidak mengalami sebarang perubahan,” tambahnya.
Orang ramai yang menerima e-mel atau komunikasi mencurigakan yang mendakwa mewakili Sarawak Energy diminta melaporkannya segera kepada Pusat Khidmat Pelanggan 24 jam di talian 1300-88-3111, menerusi e-mel customercare@sarawakenergy.com atau aplikasi SEB Cares untuk pengesahan sebelum memadamkan e-mel berkenaan.
-tamat-


