ARTIKEL

DI kawasan yang berisiko tinggi, penduduk digalakkan mendapatkan maklumat cuaca dan amaran banjir daripada agensi berwajib seperti Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Foto Bernama

Waspada ketika banjir

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BANJIR ialah bencana alam yang sering melanda negara kita, terutamanya ketika musim tengkujuh seperti hujung tahun ini.Selain menyebabkan kerosakan harta benda dan infrastruktur, banjir juga boleh membawa risiko penularan penyakit bawaan air.

Ini kerana kita tidak tahu sumber air banjir tersebut mungkin mengandungi pelbagai bahan buangan, sisa kumbahan dan kotoran yang boleh menyebabkan penyebaran penyakit berbahaya.Antara penyakit bawaan air ialah kolera (juga dikenali sebagai taun), yang disebabkan oleh jangkitan bakteria Vibrio cholerae.

Ia berjangkit melalui pengambilan makanan atau air yang tercemar, terutamanya ketika banjir.Gejala penyakit tersebut adalah seperti cirit‑birit secara tiba‑tiba dan berterusan, otot‑otot menjadi tegang, loya dan muntah‑muntah, tekanan darah rendah serta denyutan jantung lemah dan perlahan.

Bagi langkah pencegahan, minum air yang telah dimasak, makan makanan yang baru dimasak dan masih panas, tutup makanan supaya tidak dihinggapi lalat serta basuh tangan dengan sabun dan air bersih.

Selain itu, leptospirosis berpunca daripada bakteria Leptospira yang terdapat dalam kencing haiwan mamalia terjangkit seperti tikus, anjing, lembu, kucing, kuda, babi dan kambing.

Cara jangkitannya adalah melalui kontak langsung dengan air tercemar serta mengambil makanan dan minuman tercemar.

Gejalanya termasuk demam, sakit kepala, loya, muntah, cirit‑birit, sakit otot, jaundis, sakit perut, mata merah, ruam dan air kencing berwarna gelap.

Manakala dari segi komplikasinya, ia boleh menyebabkan jangkitan selaput otak, pendarahan paru‑paru, kegagalan hati, kerosakan buah pinggang dan kematian.

Untuk mencegah jangkitan tersebut, jangan bermain air atau lopak air terutama semasa dan selepas banjir.Sekiranya mempunyai luka, balut dengan plaster atau balutan kalis air semasa melakukan aktiviti pembersihan.

Di samping itu, uruskan sampah dan bersihkan persekitaran rumah untuk mengelakkan tempat menjadi pembiakan tikus.

Selain itu, pastikan memakai peralatan perlindungan diri semasa melakukan kerja‑kerja pembersihan, seperti but getah, sarung tangan getah dan pelindung mata.Paling penting, basuh tangan menggunakan sabun dan air bersih atau pensanitasi tangan.

Penyakit bawaan air semasa banjir boleh membawa risiko kesihatan yang serius sekiranya tidak ditangani dengan betul.

Langkah pencegahan amat penting bagi mengelakkan jangkitan penyakit tersebut.Oleh itu, masyarakat perlu sentiasa bersiap‑siaga menghadapi musim banjir yang dijangka berlaku setiap hujung tahun.

Persediaan awal bukan sahaja dapat mengurangkan risiko kerosakan harta benda, malah membantu melindungi kesihatan diri dan keluarga.

Antara langkah persediaan penting adalah memastikan kit kecemasan sentiasa lengkap dengan ubat‑ubatan asas, makanan kering, lampu suluh, bateri, pakaian tambahan serta dokumen penting yang disimpan dalam bekas kalis air.

Di kawasan yang berisiko tinggi, penduduk digalakkan mendapatkan maklumat cuaca dan amaran banjir daripada agensi berwajib seperti Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Dengan tahap kesiapsiagaan yang tinggi, masyarakat bukan sahaja lebih bersedia daripada segi fizikal, malah lebih peka terhadap risiko kesihatan yang boleh berlaku.

Justeru, persediaan, kesedaran dan langkah pencegahan merupakan kunci utama bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan penduduk ketika menghadapi musim tengkujuh.

BERITA LAIN

Tiga kursus buka perspektif baharu

PADA 6 dan 7 Oktober lalu, saya menghadiri kursus AI for Admin, HR & Secretaries di sebuah hotel di pusat bandar raya Kuching. Kursus selama

Jambatan mudahkan perjalanan pulang

Setiap kali musim perayaan tiba, perjalanan pulang ke kampung menjadi antara perkara yang paling dinantikan, terutama bagi mereka yang bekerja jauh dari kampung halaman. Namun,

BERITA TERBARU

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha