KUCHING: Orang awam diingatkan supaya berwaspada terhadap kegiatan penipuan yang menyalahgunakan identiti anggota perkhidmatan awam Sarawak bagi memperdaya mangsa supaya membuat tempahan barangan pejabat dan makanan melalui aplikasi WhatsApp.
Pejabat Setiausaha Kerajaan Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan mengenai tindakan individu tidak bertanggungjawab yang menggunakan identiti anggota perkhidmatan awam serta alamat pejabat berkenaan untuk membuat tempahan menggunakan pesanan perkhidmatan (service order) palsu.
“Kegiatan berkenaan turut melibatkan penyalahgunaan dokumen rasmi bagi memperdaya orang awam dan pihak berkepentingan.
“Kami memandang serius perbuatan tersebut kerana boleh menjejaskan reputasi institusi selain mengelirukan orang awam,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat bagi membolehkan tindakan lanjut diambil oleh pihak berkuasa.
Pejabat Setiausaha Kerajaan Sarawak turut menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk penyalahgunaan dan penipuan identiti rasmi Kerajaan Sarawak.
Orang awam juga dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan mana-mana pihak yang membuat tempahan dalam jumlah besar.
Sekiranya menerima panggilan telefon, e-mel atau mesej WhatsApp yang meragukan, orang awam boleh menghubungi pejabat berkenaan menerusi talian rasmi 082-441957 bagi mendapatkan pengesahan dan maklumat yang tepat.


