ARTIKEL

Fadillah menyempurnakan Program Semarak Seni Jawa (SEJIWA) di Kuching, hari ini.

Budaya Jawa perlu dipelihara, kepelbagaian kekuatan Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Warisan budaya masyarakat Jawa di Sarawak perlu terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi muda supaya identiti komuniti itu kekal terpelihara walaupun jumlah penduduknya tidak sebesar kaum lain di negeri ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, kepelbagaian budaya, adat resam dan makanan tradisional ialah kekuatan Sarawak yang menyatukan masyarakat pelbagai kaum serta agama dalam suasana harmoni.

Menurutnya, setiap komuniti mempunyai keunikan tersendiri yang perlu diketengahkan agar warisan tersebut terus diamalkan dan menjadi sebahagian daripada identiti negeri.

“Walaupun masyarakat Jawa di Sarawak tidak ramai, kita perlu berbangga dengan warisan mereka dan memastikan budaya Jawa terus dikekalkan kerana ia sebahagian daripada budaya tempatan.

“Kepelbagaian inilah yang menjadi kekuatan kita, bukannya kelemahan. Walaupun berbeza latar belakang, kita masih dapat hidup bersatu padu, harmoni dan saling menghormati,” katanya pada Program Semarak Seni Jawa (SEJIWA) di sini, hari ini.

Beliau turut memuji usaha Masjid Baiturrahim dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kolong 2 yang bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak dalam menjayakan SEJIWA.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, penganjuran program kebudayaan seperti itu bukan sahaja dapat memperkenalkan tradisi masyarakat Jawa, malah menyediakan ruang kepada kaum lain untuk memahami dan menghargai warisan tersebut.

Dalam pada itu, beliau berkata, usaha menghidupkan semula tradisi masyarakat amat penting bagi memastikan kemajuan negeri tidak menyebabkan identiti budaya semakin dilupakan.

“Kita mahu negara bukan sahaja maju, tetapi mempunyai budaya dan identiti yang kukuh. Tidak ada gunanya menjadi negara maju jika identiti sendiri hilang.

“Lihat sahaja Jepun dan China yang begitu kuat mempertahankan identiti budaya masing-masing walaupun negara mereka terus berkembang maju,” jelasnya.

Beliau berkata, keistimewaan Sarawak terletak pada kemampuan masyarakat daripada pelbagai latar belakang hidup bersama dalam suasana aman, sekali gus menjadikan perpaduan sebagai identiti yang perlu terus dipertahankan.

Beliau turut menggalakkan setiap komuniti terus mengetengahkan makanan, pakaian dan kesenian tradisional masing-masing supaya kepelbagaian budaya menjadi penghubung yang merapatkan hubungan antara masyarakat.

“Tidak kira besar atau kecil sesuatu kaum, kita semua rakyat Sarawak dan setiap masyarakat mempunyai peranan serta sumbangan dalam pembangunan negeri.

“Kita mesti berbangga dengan budaya sendiri dan terus mengetengahkannya supaya warisan itu tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU