BINTULU: Ibu bapa perlu menjadi benteng utama dalam melindungi anak-anak daripada ancaman jenayah siber dengan meningkatkan pemantauan serta membimbing mereka menggunakan internet secara selamat dan bertanggungjawab.
Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Cawangan Bintulu, Shaiful Sandi berkata, tanggungjawab melindungi kanak-kanak di alam maya tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa melalui penguatkuasaan undang-undang semata-mata.
Sebaliknya, beliau menegaskan ibu bapa perlu memainkan peranan aktif menerusi pemantauan, nasihat dan bimbingan berterusan bagi memastikan anak-anak memahami risiko penggunaan internet, termasuk ancaman buli siber, gangguan serta ugutan melalui media sosial.
Beliau berkata, meskipun internet menawarkan pelbagai manfaat dalam kehidupan seharian, khususnya dalam bidang pendidikan, pekerjaan dan perniagaan, penggunaannya tanpa pengetahuan keselamatan digital boleh mendedahkan pengguna kepada pelbagai bentuk ancaman.
“Walaupun terdapat akta dan undang-undang berkaitan, kita sebagai ibu bapa tetap mempunyai tanggungjawab memastikan anak-anak selamat ketika menggunakan internet.


“Kita perlu memantau aktiviti mereka, memberikan nasihat serta memastikan mereka memahami kesan setiap tindakan di media sosial, termasuk risiko menjadi mangsa atau terlibat dalam buli siber,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Komuniti Internet Selamat 2026 Kampung Assyakirin di Balai Raya Kampung Assyakirin Fasa 1, di sini pada Sabtu, yang disempurnakan Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Steven Kong Kai Seng, mewakili Datuk Sri Tiong King Sing.
Menurutnya, selain kanak-kanak yang berisiko berdepan gangguan dan ugutan menerusi media sosial, golongan dewasa serta ibu bapa juga terdedah kepada penipuan dalam talian melalui panggilan telefon dan mesej palsu.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya lebih berwaspada ketika berkongsi maklumat peribadi, termasuk gambar, lokasi, nombor telefon dan butiran lain dengan individu tidak dikenali.
Beliau berkata, maklumat atau kandungan yang dimuat naik ke internet berpotensi kekal dalam talian walaupun telah dipadam kerana boleh disimpan, disalin atau dikongsi semula oleh pihak lain.
“Apabila kita berkongsi maklumat secara terbuka, pihak tidak bertanggungjawab boleh menggunakannya untuk mengesan lokasi, mengenal pasti kelemahan serta merancang kegiatan penipuan terhadap mangsa.
“Justeru, kita perlu lebih berhati-hati dan tidak sewenang-wenangnya mendedahkan maklumat peribadi kerana langkah pencegahan amat penting sebelum sesuatu kejadian berlaku,” katanya.
Shaiful menambah, usaha meningkatkan kesedaran keselamatan digital perlu diperluas kepada semua lapisan masyarakat dan tidak hanya tertumpu kepada kanak-kanak serta golongan muda.
Katanya, ketua masyarakat dan pemimpin komuniti turut berperanan menyampaikan maklumat serta pengetahuan berkaitan keselamatan internet kepada penduduk setempat, termasuk mereka yang tidak berpeluang menghadiri program kesedaran.
Dalam pada itu, beliau berkata kemudahan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Kampung Assyakirin boleh dimanfaatkan penduduk setempat dan masyarakat sekitar sebagai pusat pembelajaran serta peningkatan kemahiran digital.
Menurutnya, NADI menawarkan pelbagai program termasuk kelas pengenalan perisian Microsoft, latihan perniagaan dalam talian dan pendidikan penggunaan internet secara selamat, selain membuka peluang kepada komuniti meneroka sumber pendapatan menerusi ekonomi digital.
Beliau turut menggalakkan orang ramai menggunakan aplikasi MCMC Nexus untuk menguji prestasi internet di kawasan masing-masing bagi membantu MCMC mengenal pasti lokasi yang memerlukan penambahbaikan kualiti rangkaian.
Sementara itu, katanya, MCMC Wilayah Sarawak turut melaksanakan Kempen Internet Selamat yang melibatkan 1,476 sekolah dan institusi pendidikan sebagai sebahagian usaha memperkukuh kesedaran keselamatan digital dalam kalangan generasi muda.
Menerusi kempen itu, pelajar diberikan pendedahan mengenai perlindungan maklumat peribadi, keselamatan internet, pencegahan buli siber serta kepentingan menggunakan teknologi secara bertanggungjawab.
“Matlamat kita ialah memastikan anak-anak bukan sahaja tahu menggunakan teknologi, tetapi juga mampu mengenal pasti kandungan berbahaya, mengelakkan buli siber dan memahami kepentingan menjaga privasi diri.
“Literasi digital amat penting bagi mempersiapkan generasi muda menghadapi perkembangan teknologi baharu, termasuk kecerdasan buatan (AI), dengan lebih bijak dan bertanggungjawab,” katanya.
SEO: jenayah siber




