SARIKEI: Tujuh kesan dipercayai akibat tembakan ditemui pada pintu besi sebuah premis perniagaan di Jalan Repok, di sini, dalam kejadian yang disedari pemiliknya selepas mendengar tujuh bunyi hentaman, semalam.
Pemilik premis berkenaan kemudian memeriksa pintu besi kedainya dan mendapati kesan kerosakan pada bahagian cat.
Ketua Polis Daerah Sarikei, Superintendan Aswandy Anis berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu dan sepasukan anggota kemudian menjalankan pemeriksaan di lokasi.
Katanya, pemeriksaan awal menemui dua serpihan objek dipercayai pelet logam di kawasan kaki lima premis berkenaan.
“Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati pintu besi itu tidak berlubang dan hanya mengalami kerosakan pada bahagian cat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti jenis senjata yang digunakan serta mengesan individu yang bertanggungjawab.
Setakat ini, tiada tangkapan dibuat manakala motif kejadian masih belum diketahui. Kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Firza Ahmad Fauzi menerusi talian 012-9768277 atau hadir ke balai polis berhampiran.
Aswandy turut menasihati masyarakat supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam, sambil menegaskan polis akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi membawa pihak yang terlibat ke muka pengadilan.
SEO: kesan tembakan Sarikei



