BINTULU: Masyarakat perlu meningkatkan kesedaran dan literasi keselamatan digital bagi melindungi diri daripada ancaman jenayah siber yang semakin kompleks, khususnya penipuan dalam talian serta penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Steven Kong Kai Seng berkata, perkembangan teknologi digital yang pesat bukan sahaja memudahkan urusan harian, malah membuka ruang kepada pelbagai bentuk ancaman siber yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna.
Beliau berkata, antara ancaman yang semakin membimbangkan ialah penipuan melalui panggilan telefon dan mesej palsu, buli siber, penyebaran maklumat tidak sahih serta penyalahgunaan platform media sosial

Lebih membimbangkan, kemajuan teknologi AI turut meningkatkan risiko manipulasi gambar, suara dan video sehingga menyukarkan masyarakat membezakan kandungan tulen daripada bahan yang dimanipulasi.
“Justeru, saya ingin mengingatkan masyarakat supaya sentiasa berwaspada, tidak sewenang-wenangnya berkongsi maklumat peribadi serta membuat pengesahan terlebih dahulu sebelum mempercayai sesuatu maklumat atau melakukan sebarang transaksi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Datuk Seri Tiong King Sing pada Karnival Komuniti Internet Selamat 2026 Kampung Assyakirin di Balai Raya Kampung Assyakirin Fasa 1, di sini, pada Sabtu.
Menurut Steven, penipuan dalam talian boleh menyebabkan mangsa kehilangan wang simpanan apabila terpedaya dengan panggilan palsu, mesej mencurigakan atau tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan tidak munasabah.
Katanya, pendidikan keselamatan digital perlu bermula dari rumah dan ibu bapa serta penjaga berperanan penting dalam membimbing anak-anak menggunakan Internet secara selamat, beretika dan bertanggungjawab.
Pada masa yang sama, anak-anak perlu dididik supaya tidak mudah mempercayai atau menyebarkan maklumat yang diterima menerusi media sosial tanpa terlebih dahulu menyemak kesahihannya.

“Keupayaan menilai dan mengesahkan maklumat merupakan kemahiran penting dalam menghadapi cabaran dunia digital hari ini,” katanya.
Beliau berkata, penganjuran karnival berkenaan amat relevan dalam mendekatkan masyarakat dengan pendidikan keselamatan Internet menerusi pendekatan santai, interaktif dan mudah difahami.
Katanya, tanggungjawab memastikan keselamatan ruang digital bukan hanya terletak pada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) atau kerajaan, sebaliknya memerlukan komitmen bersama semua pihak termasuk ibu bapa, guru, pemimpin komuniti dan masyarakat.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan pengunjung memanfaatkan sepenuhnya penganjuran karnival berkenaan dengan mengunjungi reruai pameran, menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan serta mendapatkan maklumat berkaitan keselamatan digital daripada agensi yang mengambil bahagian.
Pengetahuan yang diperoleh juga perlu dikongsikan bersama ahli keluarga dan komuniti bagi memastikan lebih ramai pengguna mampu mengenal pasti, memahami serta mengelakkan diri daripada menjadi mangsa jenayah siber.
Beliau berharap usaha seumpama itu dapat memupuk budaya penggunaan Internet secara selamat, beretika dan bertanggungjawab, sekali gus melahirkan masyarakat celik digital yang lebih berwaspada serta berdaya menghadapi cabaran perkembangan teknologi.




