ARTIKEL

Hasil Sarawak diunjur cecah RM15 bilion pada 2027

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak berpotensi mencatat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melebihi sasaran RM282 bilion menjelang 2030, didorong peningkatan pelaburan dalam industri teknologi tinggi, tenaga boleh baharu dan ekonomi digital.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kemasukan pelaburan daripada syarikat antarabangsa terus memperkukuh asas ekonomi negeri, sekali gus meningkatkan keyakinan kerajaan untuk mencapai sasaran berkenaan.

Menurutnya, perkembangan positif itu turut disokong peluasan operasi syarikat teknologi dan pertumbuhan sektor perindustrian yang dijangka menyumbang kepada peningkatan nilai ekonomi Sarawak.

“Dengan pelaburan yang masuk ke Sarawak, kita menjangkakan KDNK negeri mencapai RM282 bilion menjelang 2030.

“Saya rasa kita mampu mencapai sasaran itu. Malah, mungkin lebih tinggi daripada RM282 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun Ke-75 Dewan Perniagaan dan Perindustrian Sarawak (SCCI) serta Anugerah Usahawan Terbaik Sarawak 2026 di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata antara pelaburan dan perkembangan industri yang menyokong pertumbuhan ekonomi negeri termasuklah penglibatan SoftBank dan Grab, Indorama serta peluasan operasi syarikat teknologi seperti Western Digital dan Melexis.

Katanya, kehadiran syarikat berkenaan mencerminkan potensi Sarawak dalam menarik pelaburan berasaskan teknologi, selain membuka ruang kepada pembangunan industri baharu dan peningkatan keupayaan tenaga kerja tempatan.

“Perkembangan sektor perindustrian mampu mengukuhkan kedudukan kita sebagai antara penyumbang utama eksport negara.

“Saya fikir mungkin suatu hari nanti kita boleh mengatasi Johor atau Selangor sebagai antara negeri pengeksport terbesar di Malaysia,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Sarawak mempunyai kelebihan dari segi sumber asli, tenaga boleh baharu dan pembangunan modal insan yang dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan daya saing ekonomi negeri.

“Malah, Sarawak juga telah mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi berdasarkan pendapatan per kapita pada 2022, lebih awal daripada sasaran asal 2030,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pencapaian tersebut perlu disusuli usaha meningkatkan pendapatan isi rumah supaya manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dirasai dengan lebih meluas oleh rakyat.

Dalam aspek kewangan negeri, beliau berkata, hasil Sarawak diunjurkan mencecah RM15 bilion pada 2027, berbanding kira-kira RM6 bilion pada 2017.

“Peningkatan keupayaan hasil itu memberikan ruang kepada kerajaan untuk memperkukuh pembangunan ekonomi, kemudahan awam dan pelaburan strategik bagi memenuhi keperluan masa depan.

“Justeru, Sarawak perlu terus memberikan tumpuan kepada inovasi, pendidikan dan pembangunan kepakaran supaya kemasukan pelaburan dapat diterjemahkan kepada peluang pekerjaan berkualiti serta peningkatan taraf hidup rakyat,” tegasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

5,632 guru CoS lantikan 2023 terima tawaran tetap

KUALA LUMPUR: Seramai 5,632 daripada 5,840 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Perkhidmatan Kontrak (CoS) lantikan 2023 telah menerima surat tawaran pelantikan tetap daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan