ARTIKEL

Fadillah berucap pada Program Semarak Seni Jawa (SEJIWA) di Kuching, hari ini.

5,110 insiden siber direkod, Fadillah gesa kesedaran digital hingga ke kampung

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerajaan Persekutuan kini meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi ancaman serangan siber susulan cubaan penggodaman terhadap beberapa institusi kewangan negara, yang boleh menjejaskan keselamatan maklumat dan kepentingan orang ramai.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata perkembangan teknologi digital yang semakin canggih memerlukan kerajaan memperkukuh keselamatan maklumat dan meningkatkan kesedaran masyarakat supaya tidak menjadi mangsa jenayah siber.

Menurutnya, beberapa institusi kewangan termasuk Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Bank Rakyat dilaporkan berdepan cubaan penggodaman, sekali gus menunjukkan ancaman keselamatan siber tidak boleh dipandang ringan.

“Kita di peringkat kerajaan sedang bersiap siaga kerana kita tahu PNB sudah berdepan cubaan penggodaman, begitu juga Bank Rakyat dan beberapa institusi kewangan lain.

“Bayangkan sekiranya maklumat akaun kita berjaya diperoleh pihak tidak bertanggungjawab. Wang dalam akaun boleh lesap begitu sahaja. Sebab itu kita mesti sentiasa berhati-hati,” katanya pada Program Semarak Seni Jawa (SEJIWA) di sini, hari ini.

Majlis Keselamatan Negara pada 7 November lalu mengesahkan tahap ancaman keselamatan siber negara berada pada paras sederhana, dengan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) terus memantau insiden yang melibatkan beberapa institusi kewangan.

NACSA merekodkan sebanyak 5,110 insiden keselamatan siber bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, sekali gus menunjukkan keperluan pemantauan berterusan terhadap ancaman digital.

Katanya, ancaman digital bukan lagi terhad kepada pencerobohan sistem komputer, malah semakin meluas melalui penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan video, gambar dan rakaman suara palsu yang menyerupai individu sebenar.

“Hari ini orang boleh menghasilkan video menggunakan AI dengan wajah dan suara kita, sedangkan individu dalam video itu bukan kita.

“Rumah tangga boleh hancur akibat fitnah menggunakan AI. Masyarakat juga boleh berpecah jika teknologi ini digunakan untuk menggambarkan pertelagahan antara kaum atau agama,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa pemimpin masyarakat dan pertubuhan tempatan menganjurkan lebih banyak program kesedaran digital dengan membawa pakar keselamatan siber ke kampung serta kawasan penempatan penduduk.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Kerajaan Persekutuan berusaha mendapatkan kerjasama pihak berkuasa Pakistan bagi mengenal pasti rakyat Malaysia yang menjadi mangsa atau terlibat dalam kegiatan penipuan di negara tersebut.

“Kita sedang mencari jalan untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa Pakistan, termasuk kemungkinan polis kita ke sana untuk menjalankan siasatan.

“Kita perlu mengenal pasti siapa sebenarnya mangsa dan siapa yang menjadi pemangsa. Mereka yang menjadi mangsa perlu dibantu dan diselamatkan,” katanya.

Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan 130 rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa Pakistan pada 13 Oktober lalu susulan serbuan terhadap sebuah pusat panggilan yang disyaki menjalankan kegiatan penipuan kewangan di Rawalpindi.

Daripada jumlah itu, 57 individu berasal dari Sarawak, 59 dari Sabah, manakala selebihnya dari Johor, Selangor, Kuala Lumpur dan Kelantan.

Katanya, kegiatan penipuan pekerjaan turut dikesan di Myanmar dan Kemboja, dengan sebahagian rakyat Malaysia terperangkap selepas menerima tawaran pekerjaan bergaji lumayan.

“Kalau ada tawaran pekerjaan dengan gaji lumayan yang tidak sepadan dengan kelayakan kita, jangan mudah percaya. Siasat dahulu.

“Ada yang terpengaruh kerana gaji besar, tetapi apabila sampai di sana mereka menjadi mangsa dan dipaksa bekerja sebagai penipu,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya membuka pautan atau lampiran dalam mesej daripada penghantar yang tidak dikenali kerana tindakan itu boleh mendedahkan maklumat peribadi kepada pihak tidak bertanggungjawab.

Justeru, katanya, program pendidikan dan kesedaran di peringkat akar umbi perlu terus diperkukuh supaya rakyat mempunyai kemahiran melindungi diri serta keluarga daripada ancaman penipuan dan penyalahgunaan teknologi.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

‘Yang mana kaca, yang mana intan’ – Abdul Karim

ASAJAYA: Pengundi diingatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan imbuhan atau layanan istimewa calon yang bertanding, sebaliknya menggunakan pertimbangan rasional semasa menentukan pilihan pada PRU Sarawak