ASAJAYA: Pengundi diingatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan imbuhan atau layanan istimewa calon yang bertanding, sebaliknya menggunakan pertimbangan rasional semasa menentukan pilihan pada PRU Sarawak Ke-13 ini.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asajaya, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, keputusan memilih wakil rakyat tidak seharusnya dibuat berdasarkan emosi atau sekadar kerana seseorang calon pernah belanja pengundi di kedai kopi.
Beliau menegaskan latar belakang calon dan parti politik perlu diteliti secara menyeluruh sebelum pengundi membuat keputusan yang bakal menentukan hala tuju pentadbiran negeri.
“Jangan gunakan emosi atau membuat pilihan kerana imbuhan. Jangan hanya kerana calon yang bertanding pernah belanja kita di kedai kopi, kita menganggap dialah yang paling bagus.
“Gunakan akal fikiran, buat penilaian secara mendalam dan lihat latar belakang semua parti serta calon sebelum membuat keputusan,” katanya ketika merasmikan Kejohanan Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan (SK) Rebak Ke-37 Tahun 2026 di sini.
Abdul Karim merangkap Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, hak mengundi ialah amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab kerana setiap keputusan rakyat berperanan menentukan wakil rakyat dan kerajaan yang akan mentadbir negeri.

Menurutnya, pengundi perlu bijak membezakan antara calon yang menawarkan manfaat sementara dengan mereka yang mempunyai latar belakang serta kemampuan untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
“Lihat secara mendalam yang mana kaca, yang mana intan. Hak mengundi ialah hak kita dan gunakanlah hak serta amanah itu dengan sebaik-baiknya,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan masyarakat bahawa pilihan raya ialah sebahagian daripada proses demokrasi yang memberi peluang kepada rakyat memilih wakil mereka setiap lima tahun.
Sehubungan itu, katanya, pengundi perlu menggunakan peluang berkenaan dengan sebaik mungkin melalui penelitian yang matang terhadap calon dan parti politik yang menawarkan diri untuk bertanding.
Dalam pada itu, Abdul Karim menjelaskan peringatan itu bukan bertujuan berkempen atau mengarahkan masyarakat menyokong mana-mana calon mahupun parti politik.
Sebaliknya, beliau menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada kebijaksanaan pengundi dalam memastikan proses demokrasi di Sarawak berjalan dengan baik.
“Saya bukan mahu berkempen atau memberitahu siapa yang perlu diundi. Semuanya terpulang kepada kebijaksanaan penduduk untuk membuat pilihan,” katanya.




