KUCHING: Pembangunan mampan tidak seharusnya menjadikan masyarakat terus bergantung kepada bantuan, sebaliknya perlu memperkasa keupayaan mereka untuk berdikari, menjana pendapatan dan menentukan hala tuju pembangunan sendiri.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, kejayaan pembangunan komuniti bukan diukur berdasarkan jumlah bantuan yang disalurkan, tetapi dengan sejauh mana masyarakat mampu meneruskan inisiatif dan meningkatkan taraf hidup secara berterusan.

“Ukuran sebenar kejayaan kita bukanlah berapa lama sesebuah komuniti bergantung kepada bantuan, tetapi sejauh mana mereka mampu berdiri sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan RISE 2026: Meningkatkan Kesan Melalui Pemerkasaan Mampan, iaitu Program Pembangunan Keupayaan bagi Penyedia Penyelesaian APPGM-SDG Sarawak, di Hotel Voco, di sini, hari ini.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, pembangunan komuniti khususnya di kawasan luar bandar memerlukan pendekatan menyeluruh dengan mengambil kira cabaran geografi, akses kepada prasarana serta peluang ekonomi.
“Komuniti ini sebenarnya mempunyai pengetahuan, kemahiran, sumber semula jadi dan jaringan sosial yang telah menyokong kehidupan mereka sejak turun-temurun,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan organisasi masyarakat perlu diberikan sokongan dari segi tadbir urus, pengurusan kewangan, kepimpinan, kemahiran teknikal serta jaringan kerjasama bagi memastikan inisiatif yang dilaksanakan mampu bertahan dalam jangka panjang.
“Pembinaan keupayaan tidak boleh dilihat sebagai program sekali sahaja. Sebaliknya, ia mesti menjadi pelaburan berterusan terhadap pembangunan manusia,” tambahnya.
Menurutnya, RISE 2026 bukan sekadar wadah latihan, malah membuka ruang kepada penyedia penyelesaian untuk berkongsi pengalaman, memperkukuh organisasi dan membina kerjasama baharu dengan agensi kerajaan serta sektor swasta.
Beliau berkata usaha itu selari dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang menekankan pembangunan inklusif supaya setiap lapisan masyarakat, termasuk penduduk luar bandar, berpeluang menikmati kemajuan negara.
“Dasar hanya bermakna apabila ia membawa perubahan nyata dalam kehidupan masyarakat yang menjadi kumpulan sasar,” ujarnya.
Dalam pada itu, Fadillah berkata keterjaminan makanan turut menjadi antara keutamaan pembangunan komuniti kerana berkait rapat dengan kesejahteraan isi rumah, ketahanan ekonomi dan kestabilan masyarakat.
Katanya, Sarawak mempunyai potensi besar melalui sumber tanah, kepelbagaian pertanian, kepelbagaian biologi serta pengetahuan masyarakat tempatan yang perlu dimanfaatkan bagi memperkukuh pengeluaran makanan negara.
Beliau turut melancarkan penerbitan “Memperkasa Komuniti, Membina Masa Depan Mampan” yang menghimpunkan pengalaman serta kisah kejayaan projek keterjaminan makanan dan pembangunan komuniti yang dilaksanakan Penyedia Penyelesaian APPGM-SDG bersama masyarakat setempat.
Jelasnya, penerbitan itu bukan sahaja merakam pencapaian organisasi akar umbi, malah menjadi wadah perkongsian pengalaman dan panduan kepada komuniti lain, agensi kerajaan serta rakan pembangunan.
Hadir sama Penasihat Persatuan Promosi Matlamat Pembangunan Lestari (PPMPL) yang juga Sekretariat APPGM-SDG Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Pengarah Eksekutif APPGM-SDG Nur Rahmah Othman dan tetamu kehormat lain.



