KUCHING: Satu sesi wawancara khas antara pengamal media di Sarawak bersama-sama Yang di-Pertua Negeri Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar akan diadakan.
Timbalan Menteri Hal Ehwal Koporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata, wawancara tersebut akan dikendalikan oleh UKAS dan diadakan secara santai bagi mengenali Wan Junaidi secara lebih dekat.
Katanya, Wan Junaidi menghargai peranan media di negeri ini selain sentiasa memantau perkembangan berita semasa Sarawak.
“Semalam sempat berjumpa secara peribadi. Insya Allah dalam masa tertentu nanti, Tun Wan Junaidi akan mengambil kesempatan untuk berjumpa dengan semua warga wartawan di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika menghadiri kempen derma darah anjuran Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) dan UKAS di pusat beli-belah Plaza Merdeka di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah UNIFOR Datuk Jack Aman Luat dan Pengarah UKAS Samuel Simon.
Dalam pada itu, Abdullah berkata, pihaknya amat mengalu-alukan pelantikan Wan Junaidi sebagai Yang di-Pertua Negeri kelapan.
“Semoga beliau dapat menjalankan tugas dengan baik untuk Sarawak yang semakin agresif dalam melaksanakan pelbagai aktiviti pembangunan,” ujarnya.


